Adik, adik! Terdengar
jeritan emak yang memanggil dari ruangan dapur. Agak riuh rendah seperti
kenduri kahwin. Adik adalah gelaran untuk anak perempuan bongsu dalam
keluargaku. Entah apa yang dibebelkan oleh emak sambil tangan tidak berhenti
mengacau lauk yang sedang dimasak. Aku menghendap sedikit melihat apa yang emak
sedang sediakan untuk kami pada pagi itu.
“ Anak dara apa
pagi-pagi sepatutnya di dapur, bukannya di bilik melayan mimpi yang tidak
berkesudahan tu.
Sudah hampir tiga hari
aku di rumah, tanpa membuat satu pun benda yang berfaedah. Asyik telefon bimbit
sahaja bergetar menandakan mesej masuk. “ Amboi, senyuman sampai ke telinga! “
Sergah emak sambil merenung tepat ke dalam anak mataku.
Aku tersengih. “Awal
anak ayah bangun hari ni. Allah, aku hampir tergolek di tangga terkejut dengan
teguran ayah, mujur sempat ditarik oleh ayah. “ Kuat sangat berangan. Kata
ayah.
Pagi itu, aku lebih
banyak bercerita dan berkongsi tentang cita-citaku untuk menjadi seorang
penulis pada ayah dan emak. Mereka banyak memberi sokongan dan nasihat pada
aku. Katanya “Jangan hangat-hangat tahi ayam saja, usaha itu perlu disusuli
sama”. Aku mengganguk tanda faham.
Suasana pagi itu sangat
berbeza pada hari-hari lain. Ayah juga semakin sihat daripada sebelumnya. Ayah
sudah hampir dua bulan sakit. Ayah Sering berulang-alik dari rumah ke hospital.
Tetapi, sejak dua hari ini, kesihatan ayah bertambah baik. Aku juga meminta
kebenaran daripada pihak asrama untuk tinggal di rumah bagi merawat dan menjaga
ayah yang sakit. Emak terpaksa bekerja lebih masa untuk menanggung pengajian
kami lima beradik, kerana ayah tidak dibenarkan oleh pihak hospital untuk
bekerja.
Tahun ini, aku bakal
menduduki ujian besar iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Aku hanya lebih
memfokuskan kepada beberapa subjek sahaja untuk mendapatkan A. Mungkin aku
jenis seorang yang tidak terlalu minat pada pelajaran tetapi lebih suka pada
penulisan dan membaca novel. Makin hampir peperiksaan makin kerap menghabiskan
beberapa buah novel.
Segala teguran emak
seperti angin yang berlalu sahaja. Yang penting aku lulus semua mata pelajaran.
Itu sahaja impian aku. Seperti manusia yang tiada masa hadapan. Seperti inilah
rutin harian aku sepanjang cuti di rumah.
Keesokan harinya, hari
pertama aku ke sekolah setelah menghabiskan cuti selama dua minggu. Perasaan
malas yang tumbuh dalam diri aku menyebabkan aku berniat untuk ponteng dari pergi
ke sekolah. Aisya, bangun! Tubuhku digoncang kuat oleh ayah. Ayah seorang yang
tegas dengan anak-anaknya, tetapi aku adalah sejenis manusia yang keras kepala.
Sungguh berat kepalaku
untuk bangun ke sekolah. Dengan malas aku bangun jua, kerana sudah hampir
mendidih telingaku mendengar suara lantang ayah yang tidak berhenti memanggil selagi aku tidak berganjak dari
katil.
Dumm! Pintu dihempas
kuat. Aku melepaskan segalanya pada pintu tandas. Perasaan bercampur baur.
Mulut tidak berhenti dari membebel.
Aku bergegas keluar
dari rumah, tanpa mencium tangan ayahku. Geram. Geram yang teramat. Ayah hanya
memandang sepi pada aku. Ibu menghulurkan duit saku pada aku. Aku merajuk. Pada
aku, ayah adalah insan yang paling rapat dengan aku, seperti sebuah diari pada
aku. Hatiku terusik.
Sudah hampir tiga hari
aku tidak bercakap dengan ayah. Apabila aku menghubungi keluargaku di rumah,
aku hanya akan bercakap dengan emak. Ayah hanya mengirimkan salam sahaja pada
aku. Ego. Itulah yang sesuai digambarkan pada aku.
“Sakit, sakit, aku
mengaduh. Sudah hampir setengah jam perut aku seperti dicucuk-cucuk dengan
jarum yang tajam. Aku disambut oleh ayah di pintu pagar sekolah, setelah guruku
menghubungi keluargaku.
Aku melihat wajah ayah
yang pucat, bibir juga seperti tiada aliran darah. Sayu. Sungguh kesal dengan
diri sendiri. Aku terus memeluk ayah. “Maafkan Aisya, ayah. Aisya dah berkasar
dengan ayah, Aisya salah, Aisya patut dihukum. Mungkin balasan Allah Aisya
diberi kesakitan seperti ini. Ayah hanya tersenyum sambil membalas pelukanku.
Aku merasakan tubuh ayah yang sangat panas dan hangat. Tapi tidak mampu meluah
pada bibir. Biarlah kami terus begini.
Sepi. Perjalanan yang
meragut masa selama setengah jam. Tiada sedikitpun bunyi suara dari ayah. Hujan
renyai-renyai seperti hati aku yang sedang merintih pilu.
Empat hari aku diberi
cuti. Sepanjang cuti itu, aku lebih memberi tumpuan kepada ujian yang bakal aku
hadapi. Kadang-kadang apa yang diminta tolong oleh ayah pun, aku terabai kerana
terlalu sibuk dengan belajar.
“Ilmu itu boleh dicari,
ayah tidak boleh diganti,. Terkedu mendengar luahan emak pada aku. Sangat
menusuk sampai ke jantung. Aku menoleh pada emak. Emak seperti sengaja tidak
mahu memandang aku. Diam. Aku terus bangun menuju ke ruangan ayah. Redup.
Sungguh redup wajah ayah. Air mata aku mengalir tanpa diseka. Aku merapati
katil ayah. Menarik perlahan selimut menutupi dada ayah. Ayah yang dahulunya
sihat, kini tubuhnya menampakkan tulang-tulang rusuk dan kedutan pada wajahnya.
Bahagian tangannya juga kebiru-biruan, mungkin disebabkan tusukan jarum ke
dalam badannya.
Hanya tinggal lebih
kurang satu bulan sahaja lagi untuk aku menduduki ujian PMR. Tiada sedikitpun
perasaan gelisah, takut dan sebagainya. Malah, semakin rancak melihat
drama-drama korea yang menjadi kegilaan remaja sekarang.
Sudah berbuih mulut
emak menasihati aku, tapi tiada sebarang perubahan dalam memberi ruang untuk
mengulang kaji.
Kesihatan ayah
bertambah buruk. Ayah dimasukkan ke hospital. Pertama kali ambulans yang datang
ke rumah. Malam itu, aku yang menjaga ayah di rumah sakit. Bergilir dengan ibu
yang sudah tiga hari bermalam di hospital. Aku terpaksa bergilir menjaga ayah
dan adik lelaki bongsuku yang berumur satu tahun di rumah.
Aku terjaga apabila
mendengar suara serak ayah. Jam menunjukkan pukul tiga pagi. Aku memapah ayah
ke tandas. Terasa di jariku tulang-belulang ayah yang semakin timbul.
“ Adik baliklah, dekat
sini ramai yang boleh jaga ayah. Adik tiada kelas tambahan ke? Tanya ayah”, aku
hanya menggeleng. Aku mengenggam kemas tangan ayah. “Aisya akan jaga ayah. Hatiku berbicara sendirian.
Sudah hampir seminggu
ayah sudah dikeluarkan dari hospital kerana keadaan ayah yang semakin stabil.
Syukur. Syukur yang tidak terhingga pada yang Maha Kuasa. Ayah juga semakin
rancak berbual dengan kami sekeluarga. Keadaan ayah sangat berbeza, iaitu ayah
yang sihat seperti dahulu kini kembali.
Pada masa yang sama,
dengan melihat keadaan ayah yang sudah semakin stabil, aku lebih berasa lega
dan lebih banyak meluangkan masa bersama kawan-kawanku di sekolah dengan
belajar secara berkumpulan. Guru di sekolah juga memberi peluang kepada kami
untuk membuat latihan sendiri di rumah selama seminggu lebih masa yang masih
tersisa.
Aku juga memilih untuk
tinggal di asrama kerana peluang untuk aku lebih fokus dan mengulang kaji
pelajaran lebih banyak, berbanding aku di rumah. Guru juga akan dijemput ke
asrama untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar bertanya dan berkongsi
soalan- soalan yang dijangka akan keluar.
Setiap malam, ayah
pasti akan menghubungiku menanyakan keadaanku, belajarku, makan dan minum aku.
“Ayah sayangkan Aisya melebihi diri ayah’. Kata-kata itu sering ayah ungkapkan
setiap kali kami mengakhiri perbualan kami di corong telefon.
Sungguh cepat masa
berlalu, tinggal dua hari sahaja lagi untuk aku menduduki ujian besar dalam
hidup aku. Ayah juga jarang-jarang menghubungi aku. Mungkin untuk memberi ruang
kepada aku dan tidak mahu mengganggu emosi saat debaran yang bakal tiba tidak
lama lagi.
“Tak dapat ku bayangkan
hidupku ayah, tanpamu disisi.’ Deringan telefon mematikan lamunanku. Aku
mengangkat panggilan itu. “Adik, buat elok-elok ujian nanti, emak dan ayah
ingin melihat kejayaan adik’. Emm, jawabku”. Emak, ayah mana? Ayah sihat? Ayah
dah makan ubat belum? Kenapa ayah dah tak telefon adik? “ Ayah tidur’. Lama
emak diam, hanya perkataan itu sahaja yang keluar daripada mulut emak. Sebak.
Rindu. Perasaan bercampur baur, sudah lama tidak mendengar suara ayah. “ Tak
apelah. Talian dimatikan.
Doa dan zikir tidak
putus dari bibir setiap kali mendirikan solat sunat tahajjud. Sentiasa
diselitkan doa untuk kedua orang tuaku. Sedih. Pilu. Rindu. Esok adalah hari
penentu untuk dicurahkan segala-galanya dalam dewan peperiksaan selama hampir
tiga tahun menuntut ilmu di sekolah ini.
Selesai menunaikan
solat sunat dua rakaat, aku mencapai Al-Quran yang terletak di atas rak yang
agak tinggi dalam keadaan cahaya lampu yang samar-samar. Aku tidak membuka
lampu agar tidak menganggu rakan-rakan lain yang masih lena berjaga.
Tenang. Suasana yang
sangat tenang, walaupun angin sejuk sedikit sebanyak mencuit pipi seperti ais.
Deringan telefon mengejutkan aku yang sedang melantunkan kalimah-kalimah suci
al-Quran. Skrin telefon memaparkan perkataan ‘Ayah’. Ayah? Aku terus menekan
punat hijau dan merapatkan telefon ke telinga. Tunggu. Terus menunggu suara
dari corong telefon.
“Aisya. Akhirnya, suara
emak yang serak dan hampir tenggelam sayu di corong telefon.“Ayah dah tiada’.
Kelu. Aku tidak mampu untuk berkata apa-apa. Emak terus memanggil namaku. Air
jernih laju mencurah-curah di pipiku. Rebah. Aku tidak kuat Allah! Aku meraung
sekuat hati. Hanya aku sahaja yang mendengar.
Lama tiada panggilan
daripada ayah, rupa-rupanya ayah sudah semakin tenat. Emak merahsiakan
segalanya dariku. Emak tidak mahu menganggu pelajaranku. Tidak mahu mengganggu
emosiku.
Pagi itu, hujan
renyai-renyai seperti malam aku bersama ayah sebelumnya. Saudara mara berkumpul
di ruangan tamu rumah. Alunan suci bacaan yassin memenuhi setiap ruang rumah
itu. Sayu. Sekujur tubuh terbaring lesu yang sebentar lagi tidak akan aku lihat
dan sentuh buat selamanya. Ya, dunia kami bakal berbeza. Aku tidak akan pernah
lagi mendengar kata-kata dari bibir seorang insan yang amat aku sayang. Aku
belum sempat memberi apa-apa kejayaan kepadanya. Allah! sungguh sekejap kami
diberi peluang untuk bersama.
Aku melihat emak setia
di sisi ayah. Sungguh tabah, walaupun hanya Allah sahaja yang tahu getaran yang
dirasai oleh emak.
Kucupan terakhir aku
pada dahi ayah. Sungguh hangat dirasakan. Pilu. Tidak tertahan air mata aku,
segera aku menyeka sebelum meluncur laju ke wajah ayah. Hari yang tidak pernah
aku gambarkan akan berlaku dalam hidup aku, akhirnya sudah ditentukan-Nya.
Kami sekeluarga
mengiringi jenazah ayah sehingga ke tanah perkuburan. Tiada satu pun patah kata
yang keluar dari bibir antara aku dengan emak. Aku melihat sahaja tanah yang
ditimbuskan sedikit demi sedikit sehingga tidak lagi kelihatan wajah ayah.
Aku
mencari tempat untuk berlindung, aku tidak sanggup menangis di hadapan emak.
Teresak-esak aku menangis sendirian di sebalik pepohon kawasan tanah
perkuburan. Segalanya aku memerhati dari jauh.
Satu sahaja doaku pada ayah,
semoga syurga menantimu ayah. Aku sudah hilang ayah buat selamanya. Aku reda.
Reda dengan takdir yang Maha Esa.
Biarlah kelak...aku pergi bersama kenangan ;(