Friday, November 9, 2018

Syurga Menantimu Ayah : )




Adik, adik! Terdengar jeritan emak yang memanggil dari ruangan dapur. Agak riuh rendah seperti kenduri kahwin. Adik adalah gelaran untuk anak perempuan bongsu dalam keluargaku. Entah apa yang dibebelkan oleh emak sambil tangan tidak berhenti mengacau lauk yang sedang dimasak. Aku menghendap sedikit melihat apa yang emak sedang sediakan untuk kami pada pagi itu.

“ Anak dara apa pagi-pagi sepatutnya di dapur, bukannya di bilik melayan mimpi yang tidak berkesudahan tu.

Sudah hampir tiga hari aku di rumah, tanpa membuat satu pun benda yang berfaedah. Asyik telefon bimbit sahaja bergetar menandakan mesej masuk. “ Amboi, senyuman sampai ke telinga! “ Sergah emak sambil merenung tepat ke dalam anak mataku.
Aku tersengih. “Awal anak ayah bangun hari ni. Allah, aku hampir tergolek di tangga terkejut dengan teguran ayah, mujur sempat ditarik oleh ayah. “ Kuat sangat berangan. Kata ayah.

Pagi itu, aku lebih banyak bercerita dan berkongsi tentang cita-citaku untuk menjadi seorang penulis pada ayah dan emak. Mereka banyak memberi sokongan dan nasihat pada aku. Katanya “Jangan hangat-hangat tahi ayam saja, usaha itu perlu disusuli sama”. Aku mengganguk tanda faham.

Suasana pagi itu sangat berbeza pada hari-hari lain. Ayah juga semakin sihat daripada sebelumnya. Ayah sudah hampir dua bulan sakit. Ayah Sering berulang-alik dari rumah ke hospital. Tetapi, sejak dua hari ini, kesihatan ayah bertambah baik. Aku juga meminta kebenaran daripada pihak asrama untuk tinggal di rumah bagi merawat dan menjaga ayah yang sakit. Emak terpaksa bekerja lebih masa untuk menanggung pengajian kami lima beradik, kerana ayah tidak dibenarkan oleh pihak hospital untuk bekerja.

Tahun ini, aku bakal menduduki ujian besar iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Aku hanya lebih memfokuskan kepada beberapa subjek sahaja untuk mendapatkan A. Mungkin aku jenis seorang yang tidak terlalu minat pada pelajaran tetapi lebih suka pada penulisan dan membaca novel. Makin hampir peperiksaan makin kerap menghabiskan beberapa buah novel.
Segala teguran emak seperti angin yang berlalu sahaja. Yang penting aku lulus semua mata pelajaran. Itu sahaja impian aku. Seperti manusia yang tiada masa hadapan. Seperti inilah rutin harian aku sepanjang cuti di rumah.


Keesokan harinya, hari pertama aku ke sekolah setelah menghabiskan cuti selama dua minggu. Perasaan malas yang tumbuh dalam diri aku menyebabkan aku berniat untuk ponteng dari pergi ke sekolah. Aisya, bangun! Tubuhku digoncang kuat oleh ayah. Ayah seorang yang tegas dengan anak-anaknya, tetapi aku adalah sejenis manusia yang keras kepala.

Sungguh berat kepalaku untuk bangun ke sekolah. Dengan malas aku bangun jua, kerana sudah hampir mendidih telingaku mendengar suara lantang ayah yang tidak berhenti  memanggil selagi aku tidak berganjak dari katil.


Dumm! Pintu dihempas kuat. Aku melepaskan segalanya pada pintu tandas. Perasaan bercampur baur. Mulut tidak berhenti dari membebel.
Aku bergegas keluar dari rumah, tanpa mencium tangan ayahku. Geram. Geram yang teramat. Ayah hanya memandang sepi pada aku. Ibu menghulurkan duit saku pada aku. Aku merajuk. Pada aku, ayah adalah insan yang paling rapat dengan aku, seperti sebuah diari pada aku. Hatiku terusik.
Sudah hampir tiga hari aku tidak bercakap dengan ayah. Apabila aku menghubungi keluargaku di rumah, aku hanya akan bercakap dengan emak. Ayah hanya mengirimkan salam sahaja pada aku. Ego. Itulah yang sesuai digambarkan pada aku.


“Sakit, sakit, aku mengaduh. Sudah hampir setengah jam perut aku seperti dicucuk-cucuk dengan jarum yang tajam. Aku disambut oleh ayah di pintu pagar sekolah, setelah guruku menghubungi keluargaku.

Aku melihat wajah ayah yang pucat, bibir juga seperti tiada aliran darah. Sayu. Sungguh kesal dengan diri sendiri. Aku terus memeluk ayah. “Maafkan Aisya, ayah. Aisya dah berkasar dengan ayah, Aisya salah, Aisya patut dihukum. Mungkin balasan Allah Aisya diberi kesakitan seperti ini. Ayah hanya tersenyum sambil membalas pelukanku. Aku merasakan tubuh ayah yang sangat panas dan hangat. Tapi tidak mampu meluah pada bibir. Biarlah kami terus begini.
Sepi. Perjalanan yang meragut masa selama setengah jam. Tiada sedikitpun bunyi suara dari ayah. Hujan renyai-renyai seperti hati aku yang sedang merintih pilu.


Empat hari aku diberi cuti. Sepanjang cuti itu, aku lebih memberi tumpuan kepada ujian yang bakal aku hadapi. Kadang-kadang apa yang diminta tolong oleh ayah pun, aku terabai kerana terlalu sibuk dengan belajar.

“Ilmu itu boleh dicari, ayah tidak boleh diganti,. Terkedu mendengar luahan emak pada aku. Sangat menusuk sampai ke jantung. Aku menoleh pada emak. Emak seperti sengaja tidak mahu memandang aku. Diam. Aku terus bangun menuju ke ruangan ayah. Redup. Sungguh redup wajah ayah. Air mata aku mengalir tanpa diseka. Aku merapati katil ayah. Menarik perlahan selimut menutupi dada ayah. Ayah yang dahulunya sihat, kini tubuhnya menampakkan tulang-tulang rusuk dan kedutan pada wajahnya. Bahagian tangannya juga kebiru-biruan, mungkin disebabkan tusukan jarum ke dalam badannya.


Hanya tinggal lebih kurang satu bulan sahaja lagi untuk aku menduduki ujian PMR. Tiada sedikitpun perasaan gelisah, takut dan sebagainya. Malah, semakin rancak melihat drama-drama korea yang menjadi kegilaan remaja sekarang.

Sudah berbuih mulut emak menasihati aku, tapi tiada sebarang perubahan dalam memberi ruang untuk mengulang kaji.

Kesihatan ayah bertambah buruk. Ayah dimasukkan ke hospital. Pertama kali ambulans yang datang ke rumah. Malam itu, aku yang menjaga ayah di rumah sakit. Bergilir dengan ibu yang sudah tiga hari bermalam di hospital. Aku terpaksa bergilir menjaga ayah dan adik lelaki bongsuku yang berumur satu tahun di rumah.

Aku terjaga apabila mendengar suara serak ayah. Jam menunjukkan pukul tiga pagi. Aku memapah ayah ke tandas. Terasa di jariku tulang-belulang ayah yang semakin timbul.
“ Adik baliklah, dekat sini ramai yang boleh jaga ayah. Adik tiada kelas tambahan ke? Tanya ayah”, aku hanya menggeleng. Aku mengenggam kemas tangan ayah. “Aisya akan jaga ayah. Hatiku berbicara sendirian.

Sudah hampir seminggu ayah sudah dikeluarkan dari hospital kerana keadaan ayah yang semakin stabil. Syukur. Syukur yang tidak terhingga pada yang Maha Kuasa. Ayah juga semakin rancak berbual dengan kami sekeluarga. Keadaan ayah sangat berbeza, iaitu ayah yang sihat seperti dahulu kini kembali.


Pada masa yang sama, dengan melihat keadaan ayah yang sudah semakin stabil, aku lebih berasa lega dan lebih banyak meluangkan masa bersama kawan-kawanku di sekolah dengan belajar secara berkumpulan. Guru di sekolah juga memberi peluang kepada kami untuk membuat latihan sendiri di rumah selama seminggu lebih masa yang masih tersisa.

Aku juga memilih untuk tinggal di asrama kerana peluang untuk aku lebih fokus dan mengulang kaji pelajaran lebih banyak, berbanding aku di rumah. Guru juga akan dijemput ke asrama untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar bertanya dan berkongsi soalan- soalan yang dijangka akan keluar.
Setiap malam, ayah pasti akan menghubungiku menanyakan keadaanku, belajarku, makan dan minum aku. “Ayah sayangkan Aisya melebihi diri ayah’. Kata-kata itu sering ayah ungkapkan setiap kali kami mengakhiri perbualan kami di corong telefon.

Sungguh cepat masa berlalu, tinggal dua hari sahaja lagi untuk aku menduduki ujian besar dalam hidup aku. Ayah juga jarang-jarang menghubungi aku. Mungkin untuk memberi ruang kepada aku dan tidak mahu mengganggu emosi saat debaran yang bakal tiba tidak lama lagi.


“Tak dapat ku bayangkan hidupku ayah, tanpamu disisi.’ Deringan telefon mematikan lamunanku. Aku mengangkat panggilan itu. “Adik, buat elok-elok ujian nanti, emak dan ayah ingin melihat kejayaan adik’. Emm, jawabku”. Emak, ayah mana? Ayah sihat? Ayah dah makan ubat belum? Kenapa ayah dah tak telefon adik? “ Ayah tidur’. Lama emak diam, hanya perkataan itu sahaja yang keluar daripada mulut emak. Sebak. Rindu. Perasaan bercampur baur, sudah lama tidak mendengar suara ayah. “ Tak apelah. Talian dimatikan.


Doa dan zikir tidak putus dari bibir setiap kali mendirikan solat sunat tahajjud. Sentiasa diselitkan doa untuk kedua orang tuaku. Sedih. Pilu. Rindu. Esok adalah hari penentu untuk dicurahkan segala-galanya dalam dewan peperiksaan selama hampir tiga tahun menuntut ilmu di sekolah ini.
Selesai menunaikan solat sunat dua rakaat, aku mencapai Al-Quran yang terletak di atas rak yang agak tinggi dalam keadaan cahaya lampu yang samar-samar. Aku tidak membuka lampu agar tidak menganggu rakan-rakan lain yang masih lena berjaga.


Tenang. Suasana yang sangat tenang, walaupun angin sejuk sedikit sebanyak mencuit pipi seperti ais. Deringan telefon mengejutkan aku yang sedang melantunkan kalimah-kalimah suci al-Quran. Skrin telefon memaparkan perkataan ‘Ayah’. Ayah? Aku terus menekan punat hijau dan merapatkan telefon ke telinga. Tunggu. Terus menunggu suara dari corong telefon.

“Aisya. Akhirnya, suara emak yang serak dan hampir tenggelam sayu di corong telefon.“Ayah dah tiada’. Kelu. Aku tidak mampu untuk berkata apa-apa. Emak terus memanggil namaku. Air jernih laju mencurah-curah di pipiku. Rebah. Aku tidak kuat Allah! Aku meraung sekuat hati. Hanya aku sahaja yang mendengar.

Lama tiada panggilan daripada ayah, rupa-rupanya ayah sudah semakin tenat. Emak merahsiakan segalanya dariku. Emak tidak mahu menganggu pelajaranku. Tidak mahu mengganggu emosiku.
Pagi itu, hujan renyai-renyai seperti malam aku bersama ayah sebelumnya. Saudara mara berkumpul di ruangan tamu rumah. Alunan suci bacaan yassin memenuhi setiap ruang rumah itu. Sayu. Sekujur tubuh terbaring lesu yang sebentar lagi tidak akan aku lihat dan sentuh buat selamanya. Ya, dunia kami bakal berbeza. Aku tidak akan pernah lagi mendengar kata-kata dari bibir seorang insan yang amat aku sayang. Aku belum sempat memberi apa-apa kejayaan kepadanya. Allah! sungguh sekejap kami diberi peluang untuk bersama.

Aku melihat emak setia di sisi ayah. Sungguh tabah, walaupun hanya Allah sahaja yang tahu getaran yang dirasai oleh emak.

Kucupan terakhir aku pada dahi ayah. Sungguh hangat dirasakan. Pilu. Tidak tertahan air mata aku, segera aku menyeka sebelum meluncur laju ke wajah ayah. Hari yang tidak pernah aku gambarkan akan berlaku dalam hidup aku, akhirnya sudah ditentukan-Nya.

Kami sekeluarga mengiringi jenazah ayah sehingga ke tanah perkuburan. Tiada satu pun patah kata yang keluar dari bibir antara aku dengan emak. Aku melihat sahaja tanah yang ditimbuskan sedikit demi sedikit sehingga tidak lagi kelihatan wajah ayah.

Aku mencari tempat untuk berlindung, aku tidak sanggup menangis di hadapan emak. Teresak-esak aku menangis sendirian di sebalik pepohon kawasan tanah perkuburan. Segalanya aku memerhati dari jauh.
Satu sahaja doaku pada ayah, semoga syurga menantimu ayah. Aku sudah hilang ayah buat selamanya. Aku reda. Reda dengan takdir yang Maha Esa.


Biarlah kelak...aku pergi bersama kenangan ;(


No comments:

Post a Comment