Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Monday, February 18, 2019

' Jam Tangan Ayah "




Ain merupakan singkatan kepada Ainatul Husna. Seorang kanak-kanak yang berusia 11 tahun. Memiliki impian seperti ayahnya. Bijak dalam subjek mengira. Ayahnya seorang muallaf dan bekerja sebagai seorang petani manakala ibunya adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Tinggal di salah sebuah desa yang penuh dengan kedaifan dan serba kekurangan. Namun begitu, dia beruntung kerana memiliki seorang ibu dan ayah yang sangat bertanggungjawab dengan mendaftarnya ke sekolah yang terletak di pinggir bandar iaitu di Sekolah Kebangsaan Teguh.

Ain! Ainatul Husna Binti Abdullah? Jerit seorang guru kelas yang digelar Cikgu Aumm (harimau) kerana sikap tegas dan dinginnya terhadap anak murid di kelas 5 Ribut. Di samping memegang amanah sebagai seorang guru kelas 5 Ribut, beliau juga salah seorang guru disiplin di sekolah tersebut. ‘Ain’ nama yang sering kali menjadi sebutan dalam kalangan guru-guru di sekolah itu kerana kepintarannya dalam subjek matematik dan sebaliknya menjadi sebutan yang kurang enak di dengar dalam kalangan guru-guru yang mengajarnya bagi subjek lainnya kerana sering kali mendapat gred G dalam subjek tersebut. Jika ditanya oleh guru-gurunya di sekolah, nanti besar kamu mahu jadi apa Ain, apa cita-cita kamu? Petani, cikgu! satu kelas mentertawakannya namun dia hanya tersenyum lebar dan bangga dengan impiannya itu. “Kamu datang ke sekolah hanya ingin menjadi seorang petani seperti ayahmu?” “Ya, cikgu! Disebabkan ayahlah, saya dapat makan nasi pagi ini, disebabkan ayah jugalah, kawan-kawan saya dapat makan nasi hari ini dan disebabkan ayah jugalah mak cik kantin dapat gaji sebab jual nasi.” Tergelak besar Cikgu Mariam mendengar jawapan daripada anak didiknya itu.

Walaupun kemasukan Ain ke sekolah ini sering kali mendapat tentangan daripada pihak atasan kerana ayahnya yang tidak mampu mengemukakan sijil kelahiran anak perempuannya itu namun, Cikgu Mariam inilah salah seorang daripada guru yang telah banyak membantu keluarga kecil ini. Beliau sanggup mengorbankan masa, tenaga dan segalanya agar Ain dapat mendaftar di sekolah ini. Cikgu Mariam atau dikenali juga sebagai Cikgu Aumm dalam kalangan pelajar 3 Ribut ini sudah masak dengan sikap anak didiknya yang sering kali menggelarkannya sebegitu. Tetapi, sedikit pun dia tidak berdendam pada anak-anak didiknya.

“Ain, Ain dah solat maghrib ke belum?” Laju ayah bertanya ketika melihat kelibat anak perempuannya itu terbongkok-bongkok seperti pencuri yang tidak ingin tertangkap. Eh, ayah, bila sampai rumah? selalunya nak masuk waktu isyak baru nampak ayah, Ain dah solat,” kata Ain. “ Sini sekejap,” Pinta ayah kepada anak perempuannya itu. Ain akur.

Sudah hampir dua minggu ayah tidak beri duit belanja pada Ain, InsyaAllah minggu depan ayah gantikan tonggakan belanja Ain ya. “Eh, tak apa ayah, lagipun Ain tak nak pakai duit belanja buat masa terdekat ni. “ Ain tersenyum sumbing pada ayahnya.” Ayahnya memandang sepi apabila anak perempuannya itu berlalu pergi. Dalam hati kecilnya, dia mengetahui bahawa anak perempuannya itu sangat memerlukan wang belanja daripadanya kerana dia ingin membeli sesuatu yang amat diinginkannya.

Pada pagi hari Jumaat, ketika keluarga kecil ini berjalan-jalan di bandar. “Ayah, mak cantikkan jam tangan ni?” Mahal lah Ain, kamu tu bukannya pandai sangat belajar, nak kerja mewah dan nak dapatkan duit macam mana, kalau asyik dapat gred G dalam peperiksaan. jangan nak berangan sangat nak beli barang mahal-mahal ni,” Panjang lebar kata-kata ibunya. Ain terkedu. Ayah cuma memerhati gelagat isteri dan anak perempuannya itu. Terkadang ayah merasakan dia tidak layak sama kali digelar seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab kepada dua orang puteri yang terpaksa hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Setiap hari, wang belanja yang diberikan oleh ayah kepadanya akan disimpan ke dalam tabung yang direkanya sendiri dengan menggunakan pokok buluh di belakang rumahnya. Setiap hari dihitungnya jumlah wang itu. Dia sudah berkira-kira, apabila cukup sahaja jumlah yang diinginkannya, dia akan segera mendapatkan jam tangan yang dilihatnya ketika berjalan-jalan di bandar tempoh hari bersama ibu dan ayahnya. “Mungkin lagi dua minggu, cukuplah tabungan aku,” tersengih Ain sambil mencium wang kertas yang digenggam kemas di tangannya. Sedang asyik dia berangan-angan, dia terdengar bunyi kaca yang jatuh berderai. Ain terus melulu ke arah dapur, dilihatnya tiada kelibat sesiapa pun di ruangan itu. Dia kehairanan. Beberapa minit kemudian, barulah dia teringat akan ibunya yang berada di dalam bilik. Ain terus bergegas mendapatkan ibunya. Dia terkejut melihat ibunya yang berada di lantai dengan jarinya yang terbenam dengan beberapa serpihan kaca dan cecair merah yang mengalir deras. Ain terkilan melihat ibunya lalu dia segera membantu ibunya naik ke atas katil. Ain mengambil bekas kosong dan mengisi separuh air lalu dicapainya sapu tangan untuk mencuci darah yang masih deras mengalir di jari kanan ibunya.

Ain memandang jam di dinding bilik ibunya. Jam tepat menunjukkan pukul 9 malam. Dia kehairanan, kerana selalunya ketika ini, dia sudah melihat kelibat ayahnya yang sedang solat di ruang tamu rumah dengan bacaan pelat cinanya. Dia mengeluh panjang. Tanpa dia sedari, gelagatnya diperhatikan oleh ibunya. “ Ain? ” Dia terkejut dengan panggilan tiba-tiba ibunya itu, barulah dia perasan darah yang keluar sejak tadi daripada jari ibunya semakin deras mengalir. Ain menjadi tidak tentu arah. Dia pantas bangun dan memaut lengan ibunya untuk dibawa ke klinik yang berdekatan dengan rumahnya, namun keadaan di luar rumah dengan hujan lebat dan kilat yang sambung-menyambung telah menyebabkan bulu romanya berdiri tegak.

Dumm! Tiba-tiba keadaan sekelilingnya menjadi gelap gelita. “Aduh,” Ain mengaduh. Dia bertindak mengesot dirinya menuju ke ruangan bilik tidurnya untuk mendapatkan lilin. Dalam fikirannya tidak pernah lekang dengan gambaran cerita hantu yang baru sahaja diceritakan oleh sahabat rapatnya Diana ketika waktu rehat di sekolah petang tadi. Tiba-tiba Ain terpandang kelibat seseorang yang melintasi luar pintu biliknya. Degupan jantungnya semakin rancak berdentum. Dia berkira-kira untuk mencapai penyapu di belakang pintu biliknya dan memukul pencuri itu, kerana sangkaannya ayahnya belum pulang kerana, dia tidak mendengar enjin motor milik ayahnya. Dia sangat mengecam ayahnya, walaupun dengan bauannya saja. Kini, kelibat tersebut sudah benar-benar berada di hadapannya. Ain mengangkat penyapu setinggi-tingginya dan sekuat tenaga untuk memukul mangsa yang sudah berada dalam umpannya. Hampir sahaja, penyapu itu menuju tepat ke kepala mangsa tersebut, lampu tiba-tiba menyala dan serentak dengan jeritan ayahnya. “Ain, bantu ayah bawa pakaian ibu,” Ain terpaku melihat ayah mengendong ibu di belakangnya. Dia segera membuntuti belakang ayahnya menuju ke pintu rumah. Kata ayah, Ain duduk rumah dan jangan lupa kunci pintu.“ Ayah, sekejap,” dengan hanya memberi isyarat tangan, Ain terus bergegas ke biliknya lalu mengambil wang dalam tabungan dan dihulurkan kepada ayahnya. “Nah, untuk rawatan ibu.” Wang berjumlah sebanyak 400 ringgit itu diletakkan sendiri oleh Ain dalam genggaman kasar ayahnya. Walaupun terasa berat untuk dilepaskan gumpalan kertas itu kepada ayahnya, namun segera dia tempiskan perasaan itu demi kesembuhan ibunya. Ayahnya memandang sekilas ke dalam anak mata hitam Ain lalu segera membonceng isterinya menuju ke klinik. Ain hanya memerhati kedua orang tuanya sehinggalah hilang susuk tubuh mereka daripada penglihatannya.

Ain terjaga. Dilihatnya jam di ruang tamu rumah yang menunjukkan jarum pendeknya di nombor tiga menandakan sudah lewat pagi. Keadaan rumah yang sunyi sepi tanpa kelibat kedua orang tuanya. Bertambah sayu hatinya memikirkan jam tangan yang hampir sahaja akan menjadi miliknya kelak. Namun begitu, impiannya untuk memiliki jam tangan itu, biarlah terkubur untuk seketika. Padanya, kesembuhan ibu dan senyuman ayah adalah keutamaan baginya. Dia yakin, suatu hari kelak, dia mampu juga memiliki jam tangan itu. Tanpa diduga, ada cecair jernih yang mengalir di pipinya lalu diseka segera dengan lengan bajunya. Dia senyum dalam terpaksa.

Rutin harian Ain berubah 360 darjah setelah kejadian yang menimpa ibunya malam semalam. Ibunya telah disahkan lumpuh separuh badan. Kini, kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian akan dilakukannya. Ayahnya pula,  terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung pembelian ubat-ubatan ibunya. Dia reda. Reda dengan takdir Ilahi. Walaupun kadang-kala dia merasakan ujian yang dihadapinya ketika ini tidak adil buat dirinya tetapi, dia tetap menyimpan rasa sedih itu serapi-rapinya. Lagi satu minggu ulang tahun kelahirannya yang ke-11 tahun akan tiba. Baginya, ulang tahun kelahirannya kali ini berbeza dari tahun yang sebelumnya. Namun begitu, dia tidak sesekali mengharapkan apa-apa daripada ayahnya. Cukuplah dengan makan minum yang dijamahnya selama ini. Tidak ada yang diinginkannya apabila melihat keadaan ibu yang sering kali mengundang kesedihan pada wajah ayahnya. Ayahnya yang bermata sepet, di tambah pula jika ayah menangis mengenangkan ibunya, makin tenggelamlah mata ayah. Ain berbisik-bisik sendirian.

Ain berjalan kaki ke sekolah seperti biasa. Dia berkira-kira ingin mengajak Diana ke bandar setelah pulang dari sekolah untuk singgah ke kedai jam tangan itu.

Bulan depan, guru besar akan membawa kamu semua pelajar kelas 5 Ribut ke ‘Sungai Rakus’ untuk diadakan sesi teknik memikat formula secara pantas bagi Subjek Matematik. “Haaa, Sungai rakus ! kenapa pelik sangat namanya Cikgu? Satu kelas bertanya kepada Cikgu Mariam. “Entahlah, kata guru besar, tempat itulah tempat yang paling sesuai untuk diadakan program ini. Bukan setakat sungainya yang jernih, tetapi kawasannya juga luas dan selesa untuk kamu semua menimba ilmu di sana nanti. Tapi ingat, sungai rakus ini biarpun airnya nampak tenang dan jernih sahaja, namun ingat pesan cikgu, jangan sesiapa berani untuk turun ke dalamnya kerana ia sangat berbahaya. Tiba-tiba suasana kelas 5 Ribut sepi. Tiada seorang pun yang bertanya atau membantah kata-kata Cikgu Mariam.

“Sungai rakus?” Diana tergelak besar. Ain yang berjalan seiring dengannya tidak mengendahkan tawa sahabatnya itu. Dalam kotak fikirannya, hanya ingin sampai ke kedai yang tempoh hari dia singgah bersama orang tuanya. Ain berjalan laju meninggalkan Diana yang terpinga-pinga keseorangan. Diana yang tersedar dirinya sudah ditinggalkan, lalu dia segera mengejar Ain yang telah lama mendahuluinya. “ Ain, tunggulah! tercunggap-cungap Diana dibuatnya. Kini mereka berdua berada di dalam kedai jam tangan tempoh hari. Anak mata Ain terus melilau mencari kedudukan jam tangan kesukaannya sebelum ini namun sudah diisi dengan jam tangan baharu. Dia terkilan lalu bertanya kepada penjual lelaki itu, “ Abang, mana perginya jam tangan warna merah yang selalu ada dekat sini? Seingat saya, dua hari lepas masih ada di tempat duduk ini.” “Ohh, dah dibeli orang dik, baru saja pagi tadi terjual.” Ain melepaskan nafas berat. Ain menjawab acuh tak acuh sahaja apabila penjual tersebut memperkenalkannya dengan jam tangan keluaran terbaru. Ain cuma menggeleng kepala sebelum keluar daripada kedai jam tangan itu. Diana yang tidak mengetahui apa-apa hanya menurut langkah kaki sahabatnya itu menuju ke rumah masing-masing.

Malam itu, Ain hanya melayan perasaanya sendiri. Ingin membaca berasa malas, ingin menulis juga tidak muncul idea. Semuanya menjadi tidak keruan. Semuanya menjadi serba salah. Bukan rezeki aku. “ Ahhhhh, sudahlah! semuanya bukan lagi nasi yang menjadi bubur, malah sudah basi dah pun! Ain mendengus kasar.” Dia tidak perasan, disebalik langsir biliknya, ada yang sedang memerhatikan keluhannya. Seketika kemudian, dia bangun dan keluar menuju ke arah bilik ibunya. Jiwanya rasa sebak apabila memandang susuk tubuh lesu ibunya yang sedang terbaring lena dalam tidurnya. Ain memandang di ruang tamu rumah. Dia melihat ayah ketawa sendirian sambil menonton televisyen. Jarang sekali dia melihat ayahnya berkeadaan begitu. Ini adalah pertama kalinya. Dia kehairanan. Hal yang lagi mengecewakannya adalah ayahnya tidak lagi menjenguk ibu ke ruangan biliknya. Namun begitu, Ain tidak sesekali bersuara pada ayahnya. Dia sangat tahu yang ayahnya sudah terlalu banyak berkorban untuk dia dan ibunya. Kadang-kala biarlah ayahnya ketawa sepuasnya.

Tepat jam 12 malam, genaplah usia Ain yang ke-11 tahun. Suasana malam ini sangat berbeza dari malam sebelum ini apabila tibanya bulan kelahirannya. Ain memandang sepi tabungan buluhnya yang terletak elok di atas meja belajarnya. Kalau sebelum ini, sudah hampir mencecah 500 ringgit, kini cuma tinggal lima ringgit sahaja. Sedang asyik dia memandang tabungannya itu, dia terpandang satu bungkusan kuning disebalik tabung buluh yang direkanya itu lalu dia mengambil bungkusan kuning itu. Perlahan-lahan dia membuka bungkusan kuning tersebut. Alangkah bahagianya apabila dia mendapati dalam bungkusan itu adalah jam tangan merah yang ingin dimilikinya selama ini. Laju air matanya jatuh buat kali keduanya diselang-seli pula dengan esakan terharunya malam itu. Dalam kepalanya tidak ada perkataan lain selain ‘ayah.’ Ain bergegas keluar untuk mendapatkan ayahnya. Dia tercari-cari kelibat ayahnya tetapi tidak kelihatan. Dia akhirnya tertido di atas sofa di ruang tamu rumah.

Keesokan harinya, ayahnya sudah awal pagi turun ke sawah padi. Dia tidak sempat lagi untuk berjumpa ayahnya. Hari ini, wajahnya seperti tidak mahu lekang daripada senyuman lebar sehinggakan ditegur oleh Cikgu Mariam dan rakan-rakannya. Dia hanya tersenyum puas. Setelah pulang dari sekolah, dipandang motor ayah, masih juga belum kelihatan. Ain meluru masuk ke ruangan ibunya. Dia menyampaikan hajatnya untuk ke Sungai Rakus selama dua hari bermula esok pagi untuk menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ibu mengizinkannya.

Tepat jam 7 pagi Ain sudah bersiap untuk bertolak ke sekolah. Dia tidak sempat bertemu ayahnya untuk meminta izin, namun meninggalkan pesan melalui ibunya sahaja. Kata ibu, ayah sudah turun ke sawah selepas solat subuh tadi. Ain lebih bersemangat dari sebelumnya setelah melihat keadaan kesihatan ibunya yang semakin membaik. Dia tidak perlu risau untuk menyertai program tersebut kerana ibunya dengan senang hati merelakannya untuk pergi ke Sungai Rakus.

Selama dua hari Ain mendapatkan pelbagai ilmu daripada guru jemputan yang berkaliber itu. Tambahan pula, matematik adalah subjek kesukaannya. Semakin bertambah minatnya untuk mengemukakan pelbagai soalan sehinggalah dia mampu memahaminya. Selama tempoh lima hari jugalah Ain tidak berjumpa dan bercakap dengan ayahnya.

Pelajar 5 Ribut diberi waktu rehat selama satu jam untuk menenangkan fikiran mereka setelah hampir lima jam mengkaji formula matematik sahaja. Ain termenung sendiri sambil duduk di atas batu dan memandang air sungai yang mengalir rancak mengikut alurnya. Tergiang-giang di telinganya kata-kata Cikgu Mariam tentang sungai ini. Tiba-tiba hatinya terusik dengan bunyian air sungai itu. Dia teringat akan ayahnya, lalu tidak sengaja dia tersentuh jam tangan pemberian ayahnya. Di pandang lama hiasan berlian pada lilitan jam tangan tersebut. Diusap lembut pada permukaan bulatan jam itu. Glurpp! Ain terperanjat apabila dikejutkan oleh Diana yang tiba-tiba muncul dihadapannya. Diana ketawa terbahak-bahak apabila melihat reaksi spontan Ain yang dianggapnya terlalu berlebihan. “Eh, kau dah kenapa Ain?” Tidak semena-mena ketawa Diana terhenti apabila dia terpandang air mata Ain yang meluncur laju di pipinya. Diana menjadi serba salah. Diana terpandang sesuatu pada pergelangan tangan Ain. Dia terkedu. Barulah dia tersedar bahawa jam tangan milik Ain kini sudah dibawa arus sungai. “Jam tangan aku,” sayu suara Ain sambil dipeluk erat oleh Diana. Sepanjang perjalanan pulang ke sekolah, Diana tidak henti-henti meminta maaf atas kekhilafannya yang tidak masuk akal yang menyebabkan sahabatnya itu diam seribu bahasa.

Ain menolak perlahan daun pintu rumahnya. Dia berasa agak lega apabila tidak melihat kelibat ayahnya di ruang tamu rumah. Motornya juga tidak kelihatan. Dia terus masuk ke dalam biliknya. Dia menghempas kuat tubuhnya ke katil. Diluah segala rasa perit yang tidak mampu ditanggungnya. Tanpa dia duga, tangisannya sampai ke ruangan tidur ibunya. “ Ain, datang ke bilik ibu sekejap.” Sebelum dia pergi ke bilik ibunya, dia membasuh mukanya agar tidak kelihatan mata pandanya itu. Dia tidak mampu lagi menyembunyikan segalanya. Setelah mendengar sahaja pertanyaan ibunya, dia terus menangis teresak-esak dan menceritakan segalanya pada ibu. Dia ingin ibu merahsiakan segalanya dari ayah. Biarlah, suatu hari nanti pasti dia akan menggantikannya dengan yang baharu. Belum sempat berterima kasih pada ayah, hal sebaliknya pula yang terjadi. Ain terlena di sisi ibunya setelah penat menangis.

Pagi cuti hujung minggu, Ain berkira-kira untuk membuat nasi lemak untuk ayahnya sebelum ayah berangkat ke sawah padi tetapi pagi itu juga, tidak kelihatan kelibat ayah. Kata ibu, semalam ayah datang menjenguk Ain. Ayah kata, dia rindu dengan Ain. Sudah hampir satu minggu ayah tak berbual dengan Ain. Perasaan Ain bercampur baur. Dia berasa hampa. “ Ibu, Ain nak ke sawah lah kalau macam tu, nak bawa nasi lemak untuk ayah,” Kata Ain. “Ain, hari ini ayah tak ke sawah katanya, tetapi ayah ke laut teman kawannya Pak Usop menangkap ikan katanya, ingin dibuat lauk sedap untuk Ain.” Ibu memberitahu Ain. Ain tersenyum kelat sahaja sambil mengangguk kepala tanda mengiakan kata-kata ibunya. Sudah hampir jam 9 malam, tetapi kelibat ayah masih belum kelihatan. Petang tadi, ibu kata ayah akan pulang sebelum jam 6 petang kerana melihat kepada cuaca yang kurang baik.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Ibu berasa tidak senang hati memikirkan keberadaan ayah. Ain meminta izin ibunya untuk pergi ke rumah Pak usop. Ketika sampai sahaja di depan rumah Pak Usop, Ain memberi salam. Beberapa minit kemudian, salamnya terjawab oleh suara garau lelaki. Ain terkejut melihat Pak Usop yang keluar dan berhadapan dengannya kini. “ Kamu dah kenapa Ain, masuklah dulu, mana ayah kamu?” Tanya Pak Usop. “Bukankah ayah dengan Pak Usop ke laut tadi pagi ?” Tanya Ain. Pak Usop kehairanan. Belum sempat Pak Usop menjawab pertanyaan Ain, dia sudah berlari pulang ke rumahnya.

“Ibu! Ibu! Ain menjerit memanggil ibunya sambil segera mendapatkan ibunya. Dia menceritakan segalanya pada ibu. Ibunya terkedu. Barulah ibu memberitahu Ain yang semalam, ibunya telah menceritakan segalanya pada ayah, tentang kehilangan jam tangan di Sungai Rakus itu. Tiba-tiba sahaja tangan Ain menggeletar dan satu perasaan yang tidak mampu digambarkan olehnya ketika ini. Pintu rumahnya diketuk kuat dari luar. Mendengar suara Pak Usop dari luar rumah, lagi mendebarkan hati dan jiwanya saat ini. Ain terus membuka pintu rumahnya. Melihat keadaan Pak Usop yang basah kuyup dan tercungap-cungap menjadikan dirinya tidak keruan. Dia hanya mengikut ajakan Pak Usop yang memboncengnya menuju ke suatu kawasan yang baru sahaja beberapa hari dia menjejakkan kaki ke sini. Dalam keadaan hujan renyai-renyai, Ain melihat beberapa orang lelaki yang berpakaian serba lengkap dengan bantuan alat penafasan di wajah mereka dan orang ramai yang menggerumuni sekujur tubuh yang berada disebalik batuan.

Tanpa diseka, air matanya kini laju selaju air sungai rakus yang sedang mengalir dengan rakusnya. Ain cuba mendekati dengan gagahnya ke arah sekujur jasad yang amat dirinduinya saat ini. Dengan nafas yang ditahan kejap, Ain menarik perlahan kain putih yang menutupi jasad ayahnya lalu berderailah tangisan dan esakan seorang kanak-kanak perempuan yang baru sahaja mencecah usia 11 tahun tetapi terpaksa menerima takdir yang tidak pernah mampu dibayanginya sehingga ia benar-benar terjadi.

Ain terus-menerus menggoncang kuat tubuh ayahnya yang kini kaku buat selamanya. “Ayah, bangunlah ayah, kenapa ayah tidur dekat sini? Ayah, dekat sini sejuk, kenapa ayah tak tidur kat rumah saja? Kenapa ayah tinggalkan Ain? Kenapa ayah tipu ibu? Ayah tahu kan, yang Ain dah lama tak berbual dengan ayah,” Makin lama makin tenggelam suara Ain.

Ain memandang sepi tanah merah yang perlahan-lahan menutupi jasad ayahnya. Air matanya sudah tidak lagi mengalir selebat-lebatnya tetapi, sudah kering buat selama-lamanya. Jam tangan merah masih tersarung kemas di pergelangan tangan kecilnya. Biarlah ayah tetap hidup bersama Ain, meskipun ayah kini berada di tempat yang jauh, namun kenangan bersama ayah tetap mekar di hati Ain. Ain pada saat ini, bukanlah Ain yang baru mencecah usia 11 tahun, tetapi Ain yang akan hidup dalam jasad seorang ayah yang bergelar petani. Seorang yang gagah dan tetap berani.

Simpanlah segala ‘contengan duka’ yang pernah terjadi dalam kehidupan ini, agar kelak kita tidak akan merasa sesalnya kehilangan setiap daripada memori itu. Biarpun kenangan itu membawa duka yang begitu mendalam, namun kedukaan itulah yang mengajar kita erti kehidupan yang sebenar.

Friday, November 9, 2018

Syurga Menantimu Ayah : )




Adik, adik! Terdengar jeritan emak yang memanggil dari ruangan dapur. Agak riuh rendah seperti kenduri kahwin. Adik adalah gelaran untuk anak perempuan bongsu dalam keluargaku. Entah apa yang dibebelkan oleh emak sambil tangan tidak berhenti mengacau lauk yang sedang dimasak. Aku menghendap sedikit melihat apa yang emak sedang sediakan untuk kami pada pagi itu.

“ Anak dara apa pagi-pagi sepatutnya di dapur, bukannya di bilik melayan mimpi yang tidak berkesudahan tu.

Sudah hampir tiga hari aku di rumah, tanpa membuat satu pun benda yang berfaedah. Asyik telefon bimbit sahaja bergetar menandakan mesej masuk. “ Amboi, senyuman sampai ke telinga! “ Sergah emak sambil merenung tepat ke dalam anak mataku.
Aku tersengih. “Awal anak ayah bangun hari ni. Allah, aku hampir tergolek di tangga terkejut dengan teguran ayah, mujur sempat ditarik oleh ayah. “ Kuat sangat berangan. Kata ayah.

Pagi itu, aku lebih banyak bercerita dan berkongsi tentang cita-citaku untuk menjadi seorang penulis pada ayah dan emak. Mereka banyak memberi sokongan dan nasihat pada aku. Katanya “Jangan hangat-hangat tahi ayam saja, usaha itu perlu disusuli sama”. Aku mengganguk tanda faham.

Suasana pagi itu sangat berbeza pada hari-hari lain. Ayah juga semakin sihat daripada sebelumnya. Ayah sudah hampir dua bulan sakit. Ayah Sering berulang-alik dari rumah ke hospital. Tetapi, sejak dua hari ini, kesihatan ayah bertambah baik. Aku juga meminta kebenaran daripada pihak asrama untuk tinggal di rumah bagi merawat dan menjaga ayah yang sakit. Emak terpaksa bekerja lebih masa untuk menanggung pengajian kami lima beradik, kerana ayah tidak dibenarkan oleh pihak hospital untuk bekerja.

Tahun ini, aku bakal menduduki ujian besar iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Aku hanya lebih memfokuskan kepada beberapa subjek sahaja untuk mendapatkan A. Mungkin aku jenis seorang yang tidak terlalu minat pada pelajaran tetapi lebih suka pada penulisan dan membaca novel. Makin hampir peperiksaan makin kerap menghabiskan beberapa buah novel.
Segala teguran emak seperti angin yang berlalu sahaja. Yang penting aku lulus semua mata pelajaran. Itu sahaja impian aku. Seperti manusia yang tiada masa hadapan. Seperti inilah rutin harian aku sepanjang cuti di rumah.


Keesokan harinya, hari pertama aku ke sekolah setelah menghabiskan cuti selama dua minggu. Perasaan malas yang tumbuh dalam diri aku menyebabkan aku berniat untuk ponteng dari pergi ke sekolah. Aisya, bangun! Tubuhku digoncang kuat oleh ayah. Ayah seorang yang tegas dengan anak-anaknya, tetapi aku adalah sejenis manusia yang keras kepala.

Sungguh berat kepalaku untuk bangun ke sekolah. Dengan malas aku bangun jua, kerana sudah hampir mendidih telingaku mendengar suara lantang ayah yang tidak berhenti  memanggil selagi aku tidak berganjak dari katil.


Dumm! Pintu dihempas kuat. Aku melepaskan segalanya pada pintu tandas. Perasaan bercampur baur. Mulut tidak berhenti dari membebel.
Aku bergegas keluar dari rumah, tanpa mencium tangan ayahku. Geram. Geram yang teramat. Ayah hanya memandang sepi pada aku. Ibu menghulurkan duit saku pada aku. Aku merajuk. Pada aku, ayah adalah insan yang paling rapat dengan aku, seperti sebuah diari pada aku. Hatiku terusik.
Sudah hampir tiga hari aku tidak bercakap dengan ayah. Apabila aku menghubungi keluargaku di rumah, aku hanya akan bercakap dengan emak. Ayah hanya mengirimkan salam sahaja pada aku. Ego. Itulah yang sesuai digambarkan pada aku.


“Sakit, sakit, aku mengaduh. Sudah hampir setengah jam perut aku seperti dicucuk-cucuk dengan jarum yang tajam. Aku disambut oleh ayah di pintu pagar sekolah, setelah guruku menghubungi keluargaku.

Aku melihat wajah ayah yang pucat, bibir juga seperti tiada aliran darah. Sayu. Sungguh kesal dengan diri sendiri. Aku terus memeluk ayah. “Maafkan Aisya, ayah. Aisya dah berkasar dengan ayah, Aisya salah, Aisya patut dihukum. Mungkin balasan Allah Aisya diberi kesakitan seperti ini. Ayah hanya tersenyum sambil membalas pelukanku. Aku merasakan tubuh ayah yang sangat panas dan hangat. Tapi tidak mampu meluah pada bibir. Biarlah kami terus begini.
Sepi. Perjalanan yang meragut masa selama setengah jam. Tiada sedikitpun bunyi suara dari ayah. Hujan renyai-renyai seperti hati aku yang sedang merintih pilu.


Empat hari aku diberi cuti. Sepanjang cuti itu, aku lebih memberi tumpuan kepada ujian yang bakal aku hadapi. Kadang-kadang apa yang diminta tolong oleh ayah pun, aku terabai kerana terlalu sibuk dengan belajar.

“Ilmu itu boleh dicari, ayah tidak boleh diganti,. Terkedu mendengar luahan emak pada aku. Sangat menusuk sampai ke jantung. Aku menoleh pada emak. Emak seperti sengaja tidak mahu memandang aku. Diam. Aku terus bangun menuju ke ruangan ayah. Redup. Sungguh redup wajah ayah. Air mata aku mengalir tanpa diseka. Aku merapati katil ayah. Menarik perlahan selimut menutupi dada ayah. Ayah yang dahulunya sihat, kini tubuhnya menampakkan tulang-tulang rusuk dan kedutan pada wajahnya. Bahagian tangannya juga kebiru-biruan, mungkin disebabkan tusukan jarum ke dalam badannya.


Hanya tinggal lebih kurang satu bulan sahaja lagi untuk aku menduduki ujian PMR. Tiada sedikitpun perasaan gelisah, takut dan sebagainya. Malah, semakin rancak melihat drama-drama korea yang menjadi kegilaan remaja sekarang.

Sudah berbuih mulut emak menasihati aku, tapi tiada sebarang perubahan dalam memberi ruang untuk mengulang kaji.

Kesihatan ayah bertambah buruk. Ayah dimasukkan ke hospital. Pertama kali ambulans yang datang ke rumah. Malam itu, aku yang menjaga ayah di rumah sakit. Bergilir dengan ibu yang sudah tiga hari bermalam di hospital. Aku terpaksa bergilir menjaga ayah dan adik lelaki bongsuku yang berumur satu tahun di rumah.

Aku terjaga apabila mendengar suara serak ayah. Jam menunjukkan pukul tiga pagi. Aku memapah ayah ke tandas. Terasa di jariku tulang-belulang ayah yang semakin timbul.
“ Adik baliklah, dekat sini ramai yang boleh jaga ayah. Adik tiada kelas tambahan ke? Tanya ayah”, aku hanya menggeleng. Aku mengenggam kemas tangan ayah. “Aisya akan jaga ayah. Hatiku berbicara sendirian.

Sudah hampir seminggu ayah sudah dikeluarkan dari hospital kerana keadaan ayah yang semakin stabil. Syukur. Syukur yang tidak terhingga pada yang Maha Kuasa. Ayah juga semakin rancak berbual dengan kami sekeluarga. Keadaan ayah sangat berbeza, iaitu ayah yang sihat seperti dahulu kini kembali.


Pada masa yang sama, dengan melihat keadaan ayah yang sudah semakin stabil, aku lebih berasa lega dan lebih banyak meluangkan masa bersama kawan-kawanku di sekolah dengan belajar secara berkumpulan. Guru di sekolah juga memberi peluang kepada kami untuk membuat latihan sendiri di rumah selama seminggu lebih masa yang masih tersisa.

Aku juga memilih untuk tinggal di asrama kerana peluang untuk aku lebih fokus dan mengulang kaji pelajaran lebih banyak, berbanding aku di rumah. Guru juga akan dijemput ke asrama untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar bertanya dan berkongsi soalan- soalan yang dijangka akan keluar.
Setiap malam, ayah pasti akan menghubungiku menanyakan keadaanku, belajarku, makan dan minum aku. “Ayah sayangkan Aisya melebihi diri ayah’. Kata-kata itu sering ayah ungkapkan setiap kali kami mengakhiri perbualan kami di corong telefon.

Sungguh cepat masa berlalu, tinggal dua hari sahaja lagi untuk aku menduduki ujian besar dalam hidup aku. Ayah juga jarang-jarang menghubungi aku. Mungkin untuk memberi ruang kepada aku dan tidak mahu mengganggu emosi saat debaran yang bakal tiba tidak lama lagi.


“Tak dapat ku bayangkan hidupku ayah, tanpamu disisi.’ Deringan telefon mematikan lamunanku. Aku mengangkat panggilan itu. “Adik, buat elok-elok ujian nanti, emak dan ayah ingin melihat kejayaan adik’. Emm, jawabku”. Emak, ayah mana? Ayah sihat? Ayah dah makan ubat belum? Kenapa ayah dah tak telefon adik? “ Ayah tidur’. Lama emak diam, hanya perkataan itu sahaja yang keluar daripada mulut emak. Sebak. Rindu. Perasaan bercampur baur, sudah lama tidak mendengar suara ayah. “ Tak apelah. Talian dimatikan.


Doa dan zikir tidak putus dari bibir setiap kali mendirikan solat sunat tahajjud. Sentiasa diselitkan doa untuk kedua orang tuaku. Sedih. Pilu. Rindu. Esok adalah hari penentu untuk dicurahkan segala-galanya dalam dewan peperiksaan selama hampir tiga tahun menuntut ilmu di sekolah ini.
Selesai menunaikan solat sunat dua rakaat, aku mencapai Al-Quran yang terletak di atas rak yang agak tinggi dalam keadaan cahaya lampu yang samar-samar. Aku tidak membuka lampu agar tidak menganggu rakan-rakan lain yang masih lena berjaga.


Tenang. Suasana yang sangat tenang, walaupun angin sejuk sedikit sebanyak mencuit pipi seperti ais. Deringan telefon mengejutkan aku yang sedang melantunkan kalimah-kalimah suci al-Quran. Skrin telefon memaparkan perkataan ‘Ayah’. Ayah? Aku terus menekan punat hijau dan merapatkan telefon ke telinga. Tunggu. Terus menunggu suara dari corong telefon.

“Aisya. Akhirnya, suara emak yang serak dan hampir tenggelam sayu di corong telefon.“Ayah dah tiada’. Kelu. Aku tidak mampu untuk berkata apa-apa. Emak terus memanggil namaku. Air jernih laju mencurah-curah di pipiku. Rebah. Aku tidak kuat Allah! Aku meraung sekuat hati. Hanya aku sahaja yang mendengar.

Lama tiada panggilan daripada ayah, rupa-rupanya ayah sudah semakin tenat. Emak merahsiakan segalanya dariku. Emak tidak mahu menganggu pelajaranku. Tidak mahu mengganggu emosiku.
Pagi itu, hujan renyai-renyai seperti malam aku bersama ayah sebelumnya. Saudara mara berkumpul di ruangan tamu rumah. Alunan suci bacaan yassin memenuhi setiap ruang rumah itu. Sayu. Sekujur tubuh terbaring lesu yang sebentar lagi tidak akan aku lihat dan sentuh buat selamanya. Ya, dunia kami bakal berbeza. Aku tidak akan pernah lagi mendengar kata-kata dari bibir seorang insan yang amat aku sayang. Aku belum sempat memberi apa-apa kejayaan kepadanya. Allah! sungguh sekejap kami diberi peluang untuk bersama.

Aku melihat emak setia di sisi ayah. Sungguh tabah, walaupun hanya Allah sahaja yang tahu getaran yang dirasai oleh emak.

Kucupan terakhir aku pada dahi ayah. Sungguh hangat dirasakan. Pilu. Tidak tertahan air mata aku, segera aku menyeka sebelum meluncur laju ke wajah ayah. Hari yang tidak pernah aku gambarkan akan berlaku dalam hidup aku, akhirnya sudah ditentukan-Nya.

Kami sekeluarga mengiringi jenazah ayah sehingga ke tanah perkuburan. Tiada satu pun patah kata yang keluar dari bibir antara aku dengan emak. Aku melihat sahaja tanah yang ditimbuskan sedikit demi sedikit sehingga tidak lagi kelihatan wajah ayah.

Aku mencari tempat untuk berlindung, aku tidak sanggup menangis di hadapan emak. Teresak-esak aku menangis sendirian di sebalik pepohon kawasan tanah perkuburan. Segalanya aku memerhati dari jauh.
Satu sahaja doaku pada ayah, semoga syurga menantimu ayah. Aku sudah hilang ayah buat selamanya. Aku reda. Reda dengan takdir yang Maha Esa.


Biarlah kelak...aku pergi bersama kenangan ;(


Tuesday, November 6, 2018

' Lembaran Duka'



Pakaiannya setenang wajah dan keayuan empunya diri. Bibirnya tidak pernah kering dengan basahan kalimah-kalimah suci al-Quran. Sentiasa berjubah hitam, bertudung labuh dan berstoking. Semuanya cukup sempurna. Digelar pula dengan gelaran Humaira kerana bibirnya sentiasa melantunkan bait-bait hadis kepada para jemaah perempuan di salah sebuah sekolah pondok yang terletak di pinggir bandar.
Sungguh terjaga ikhtilat para jemaah perempuan di pinggir bandar itu. Disisinya tidak pernah lenggang, dia sentiasa bersama mashaf di pelukan yang sentiasa dibawa ke setiap pelosok perjalanan. Senyuman di bibir mulusnya, menjadi penawar luka lara penduduk yang menetap di kawasan pinggir bandar itu. Orangnya petah berbicara, tidak pernah sombong dalam menghulurkan bantuan kepada penduduk di kawasan pinggir bandar itu.
‘Humaira’ nama yang sering kali menjadi sebutan dalam kawasan pondok itu, tetapi sedikit digeruni oleh para jemaah lelaki kerana dianggap sebagai “ harimau kelaparan” kerana sikapnya yang agak tegas dan dingin apabila seringkali ingin didekati oleh para jemaah lelaki di situ. Dia lebih selesa dianggap sebegitu, dianggap sebagai harimau kelaparan lebih baik daripada dianggap sebagai kucing yang manja pada tuannya. Tidak sama sekali akan diizinkannya mana-mana lelaki hadir dalam hidupnya. Cukuplah dengan lelaki durjana yang pernah cuba untuk meragut segalanya yang pernah menjadi miliknya.
Tergambar suasana kampung yang sungguh indah dan permai, tiada sedikitpun gangguan hiruk-pikuk kenderaan darat mahupun laut.
Hujan lebat pada malam itu, terdengar sayu tangisan bayi di tengah hutan. Perasaan bercampur baur takut, pilu, kelam dan sebagainya. Tidak berani untuk melangkah, tetapi dikuatkan jua.
Kilat sambar menyambar, guruh makin rancak berdentum seperti tiada sedikitpun tanda untuk berhenti. Sebagai peringatan buat umat manusia supaya sentiasa mengingatiNya. Cecair pekat merah membasahi pakaian Humaira. Dalam keadaan samar-samar kilat menyambar, ada kelibat seseorang yang sedang memerhatikannya dari jauh.
Humaira bertindak pantas menuju ke rumahnya dalam keadaan basah kuyup. Pintu diketuk kuat dari luar rumah, mengejutkan seorang nenek tua yang keuzuran terbongkok-bongkok menuju untuk membuka pintu.
Pintu dikunci dengan rapat. Humaira bertungkus lumus mencari apa-apa sahaja untuk mengurangkan kesakitan pada tubuhnya. Dia mengerang kesakitan yang tidak tertanggung. Di rumah usang itu, hanya tinggal seorang nenek yang keuzuran dan gadis yang dikenali dengan nama Humaira. Kehidupannya sangat bersederhana. Sungguh kental jiwa remajanya sejak lahir sudah kehilangan kedua orang tuanya.
Sudah hampir berbulan-bulan tidak kelihatan kelibat gadis berjubah dan bertudung labuh itu di sekitar pondok di pinggir bandar itu yang setiap pagi dan malam pasti akan kedengaran alunan syahdunya bacaan kalimah-kalimah suci al-Quran.
Sepi. Keadaan pondok yang semakin sepi seperti merasai kehilangan gadis misteri itu. Tenang. Tiada sebarang riak daripada para jemaah di situ. Tiada seorang pun yang bertanya atau menimbulkan persoalan. Masing-masing dibuai dengan masalah sendiri.
Tabah. Begitu kental jiwa gadis itu. Tidak koyak oleh jerih perih kepenatan. Bersusah payah bekerja dari pagi sehingga malam. Dalam dakapannya kini, darah daging yang masih kemerahan. Kadang kala tersedu sedan menangis kelaparan, menangis kepanasan, mungkin tidak selesa berkeadaan sebegitu.
Tiada sedikit pun keluhan daripada bibirnya. Pagi bekerja di kedai dobi, malam melayan pelanggan di kedai makan, petang pula menjadi  pembantu rumah separuh masa. Gendongannya tidak pernah terlepas dari dakapannya. Kadang-kadang menangis meminta susu. Dia terpaksa bekerja untuk memenuhi keperluan bayi yang kini menjadi tanggungannya. Keringat di dahi belum sempat mengering, dia perlu ke hulur dan ke hilir demi mencari sesuap nasi.
Sudah begitu lama Humaira tidak singgah ke pondok yang menjadi tempatnya untuk bertafakur kepada PenciptaNya. Hari ini, dia mula menjejakkan kaki ke pondok yang telah sekian lama tidak dijejakinya. Rindu, sayu segalanya bercampur baur. Kini, dirinya terasa asing pada hal sekeliling. Para jemaah berbisik-bisik antara satu sama lain. Dirinya kini dipandang serong oleh penduduk di pinggir bandar itu.
Setiap hari hanya titisan air mata sahaja yang setia menemani Humaira. Sepanjang malam, dia tidak pernah berhenti untuk meminta, dia tidak sesekali berhenti mengadu pada-Nya. Dia percaya, setiap ujian yang sedang dia lalui ketika ini sudah pasti ada hikmah yang terbesar disebaliknya. Humaira lebih banyak membisu. Setiap hari dia dicerca, dia difitnah, dia diumpat, tetapi, segalanya menguatkan dirinya. Dia reda dan pasrah dengan segalanya.
Humaira meneruskan rutin hariannya untuk menghadiri kelas di pondok kawasan pinggir bandar itu. Dahulunya, dia mempunyai ramai kawan rapat, kini dia dipulau oleh rakan-rakannya.
“ Perempuan berlagak alim, munafik!, mencemarkan imej bertudung labuh.” Lantang suara seorang perempuan yang menyebabkan langkah Humaira terhenti. Humaira terkedu. Humaira tidak mampu memandang wajah bengis itu.
Tiba-tiba tangan Humaira direntap kuat. Suasana menjadi gelap. Humaira pitam dan apabila tersedar, dia terkejut melihat cecair merah membasahi lantai yang kini dipijaknya. Dia melihat sekujur tubuh kecil yang meronta- ronta kesakitan. Humaira bergegas mendapatkan bayi kecil itu, lalu dipeluk kejap. Humaira menangis teresak-esak.
“Siapa kau, kenapa kau sungguh kejam membunuh bayiku?” sambil terketar-ketar suara Humaira bertanya. Dia bukan anak dari rahim kau! Dia anak haram! Berdesing telinga Humaira mendengarnya. Bayi ini tidak berdosa! kenapa kau sanggup membunuhnya.” Sayu rintihan Humaira. Dumm! Humaira tersedar apabila satu hentakan kuat pada kepalanya.
“ Humaira, syukurlah kamu sudah sedar.” Bisik ustazah Syarha pada Humaira. Allahuakbar, aku cuma bermimpi,” ucap Humaira. “ Kenapa Humaira? Humaira tidak menjawab pertanyaan ustazah Syarha, malah hanya mempamerkan senyuman kelat. “Ustazah ingin berbual dengan kamu sebentar Humaira,” pinta ustazah Syarha kepada Humaira. Humaira hanya mengangguk tanda setuju.
“ Bayi siapakah yang kamu jaga selama ini Humaira? Tiba-tiba Humaira terkedu dengan soalan ustazah tersebut. Ustazah segera mengenggam erat jari-jemari milik anak gadisnya itu. Sudah berbulan-bulan dia tidak bersua muka dengan gadis yang penuh sopan itu. Ketika ditanya kepada jemaah pondok, semuanya tidak tahu ke mana perginya gadis berjubah itu. Sepanjang tempoh sebulan juga ustazah telah berangkat ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak sempat untuk bertemu anak gadisnya itu. Baru-baru ini juga dia mendapat khabar daripada anak muridnya yang lain mengenai Humaira, walaupun beliau agak terkejut, tetapi beliau telah nekad untuk mendengar segalanya daripada gadis itu.
Ceritakan segalanya pada ummi, Humaira. Panggilan ‘ummi,’ adalah panggilan yang sangat rapat pada Humaira. Dia membiasakan dirinya dengan panggilan itu. Jika ingin diceritakan betapa tragisnya kehidupan seorang gadis yang bernama Humaira. Ibunya mati kerana menggantungkan diri demi melindunginya saat dirinya hampir sahaja menjadi mangsa rakusan ayah kandungnya sendiri ketika usianya tujuh tahun. Demi menyelamatkannya, ibunya telah tertikam dada ayahnya dan menyebabkan ayahnya mati dan ibunya takut jika dituduh sebagai pembunuh. Beberapa hari selepas kejadian itu berlaku, ibunya agak kelihatan murung dan tidak mahu bercakap. Humaira yang ketika itu masih kecil dan tidak mengetahui apa-apa hanya berseronok melalui zaman kanak-kanaknya seperti biasa.
Suatu petang, ketika Humaira pulang ke rumah setelah bermain dengan rakan-rakannya, suasana di dalam rumah begitu sunyi. Tidak kelihatan susuk tubuh ibunya yang sering kali berada di jendela rumah tetapi hari ini tidak kelihatan pada matanya. Humaira menjerit memanggil ibunya, “ibu! Ibu!. Tiada sebarang jawapan yang kedengaran. Humaira terus melulu masuk ke ruangan bilik ibunya dan dia jatuh terduduk sebaik sahaja melihat keadaan ibunya yang berada dalam keadaan yang mengerikan. Kehidupannya setelah itu, begitu naïf tetapi beruntungnya dia apabila ada seorang nenek tua telah menjaga dan merawatnya dengan penuh kasih dan sayang walaupun kehidupan mereka begitu besederhana. Humaira tersedar daripada lamunan. Dia kini memandang wajah suci ummi yang sedang berhadapan dengannya ketika ini.
“Ummi, Humaira reda dengan apa yang orang perkatakan tentang Humaira. Biarlah mereka mencaci Humaira, jijik dengan Humaira.” Laju air matanya jatuh tanpa diseka diselang-seli dengan bunyi esakan. “Bayi itu bukan bayi Humaira, bukan lahirnya dari rahim Humaira ummi”, ummi terus memeluknya erat, sambil menggosok perlahan belakangnya untuk menenangkan emosi gadis itu. “Subhanallah! Humaira, sungguh mulia hati kamu, sungguh kuat imanmu, sungguh tabah dirimu.” Ummi cepat-cepat menyeka air matanya. Dia tidak boleh kelihatan lemah di hadapan gadis itu.
Satu persatu diluahkan kepada ummi. Kata Humaira, perutnya telah tertikam oleh gunting ketika dia cuba mengambil bayi daripada seorang wanita yang cuba untuk membunuh bayinya sendiri. Disebabkan keadaannya yang terluka dan berdarah itu, berlakunya tafsiran negatif orang yang ketika itu sedang mengintipnya dari jauh. Ummi memandang Humaira dengan penuh rasa syukur. Ummi sungguh kagum dengan gadis yang memiliki jiwa kental seperti Humaira. Betul-betul tidak disangka, masih ada manusia yang berhati mulia sebegitu. Ustazah Syarha bertekad untuk menjelaskan dan memperbetulkan segalanya, apabila Humaira pulih seperti sedia kala. Itu adalah janjinya.
Malam itu, para jemaah pondok dikumpulkan beramai-ramai. Suasana pada malam itu sungguh redup. Tidak sejuk, tidak juga terlalu panas. Seperti ada suatu aura yang sangat positif. Dengan penuh berhati-hati, Humaira melangkah masuk menghadap para jemaah perempuan diiringi oleh ustazah Syarha. Baru sahaja Humaira ingin memulakan ucapannya, ada seorang lelaki yang meminta untuk mengatakan sesuatu. Suasana menjadi tegang. Para jemaah diam untuk mendengar patah bicara lelaki itu.
“Saya mewakili bagi pihak saudara Haris, ingin memohon maaf atas segala fitnah yang telah ditaburkan ke atas saudari Humaira. Saya adalah saksi ke atas apa yang telah terjadi pada malam tersebut, dan segala cerita mengenai gadis tersebut adalah rekaan semata-mata kerana sifat dengki saya terhadap beliau. Salam kemaafan daripada saya.” Haris. “Saudara Haris telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.” Ucap seorang lelaki yang berperwatakan seperti seorang ustaz itu. Majlis malam itu, bertukar kepada majlis bacaan yassin yang disedekahkan kepada saudara Haris. Keadaan malam itu menjadi lebih sayu. Ada yang menangis, ada yang termenung sendiri, ada yang menyendiri. Humaira mencapai mikrofon. Para jemaah serentak memandang Humaira.
“Saya Fatimah Binti Farouq (Humaira) bersaksikan para jemaah pondok ini, telah memaafkan segala kekhilafan saudara Haris dan para jemaah yang lain terhadap fitnah yang telah dilemparkan ke atas diri saya dengan seikhlasnya. Semoga Allah mengampuni saudara Haris dan kita semua”. Bergema satu pondok mengaminkan doa yang dibacakan oleh Humaira. Tika itu, ada senyuman disebalik bibir mulus Humaira. Syukur.