Pakaiannya setenang wajah dan keayuan
empunya diri. Bibirnya tidak pernah kering dengan basahan kalimah-kalimah suci
al-Quran. Sentiasa berjubah hitam, bertudung labuh dan berstoking. Semuanya
cukup sempurna. Digelar pula dengan gelaran Humaira kerana bibirnya sentiasa
melantunkan bait-bait hadis kepada para jemaah perempuan di salah sebuah
sekolah pondok yang terletak di pinggir bandar.
Sungguh terjaga ikhtilat
para jemaah perempuan di pinggir bandar itu. Disisinya tidak pernah lenggang,
dia sentiasa bersama mashaf di pelukan yang sentiasa dibawa ke setiap pelosok
perjalanan. Senyuman di bibir mulusnya, menjadi penawar luka lara penduduk yang
menetap di kawasan pinggir bandar itu. Orangnya petah berbicara, tidak pernah
sombong dalam menghulurkan bantuan kepada penduduk di kawasan pinggir bandar
itu.
‘Humaira’ nama yang sering
kali menjadi sebutan dalam kawasan pondok itu, tetapi sedikit digeruni oleh
para jemaah lelaki kerana dianggap sebagai “ harimau kelaparan” kerana sikapnya
yang agak tegas dan dingin apabila seringkali ingin didekati oleh para jemaah
lelaki di situ. Dia lebih selesa dianggap sebegitu, dianggap sebagai harimau
kelaparan lebih baik daripada dianggap sebagai kucing yang manja pada tuannya.
Tidak sama sekali akan diizinkannya mana-mana lelaki hadir dalam hidupnya.
Cukuplah dengan lelaki durjana yang pernah cuba untuk meragut segalanya yang
pernah menjadi miliknya.
Tergambar suasana kampung
yang sungguh indah dan permai, tiada sedikitpun gangguan hiruk-pikuk kenderaan
darat mahupun laut.
Hujan lebat pada malam
itu, terdengar sayu tangisan bayi di tengah hutan. Perasaan bercampur baur
takut, pilu, kelam dan sebagainya. Tidak berani untuk melangkah, tetapi
dikuatkan jua.
Kilat sambar menyambar,
guruh makin rancak berdentum seperti tiada sedikitpun tanda untuk berhenti.
Sebagai peringatan buat umat manusia supaya sentiasa mengingatiNya. Cecair
pekat merah membasahi pakaian Humaira. Dalam keadaan samar-samar kilat
menyambar, ada kelibat seseorang yang sedang memerhatikannya dari jauh.
Humaira bertindak pantas
menuju ke rumahnya dalam keadaan basah kuyup. Pintu diketuk kuat dari luar
rumah, mengejutkan seorang nenek tua yang keuzuran terbongkok-bongkok menuju
untuk membuka pintu.
Pintu dikunci dengan
rapat. Humaira bertungkus lumus mencari apa-apa sahaja untuk mengurangkan
kesakitan pada tubuhnya. Dia mengerang kesakitan yang tidak tertanggung. Di
rumah usang itu, hanya tinggal seorang nenek yang keuzuran dan gadis yang
dikenali dengan nama Humaira. Kehidupannya sangat bersederhana. Sungguh kental
jiwa remajanya sejak lahir sudah kehilangan kedua orang tuanya.
Sudah hampir berbulan-bulan
tidak kelihatan kelibat gadis berjubah dan bertudung labuh itu di sekitar
pondok di pinggir bandar itu yang setiap pagi dan malam pasti akan kedengaran
alunan syahdunya bacaan kalimah-kalimah suci al-Quran.
Sepi. Keadaan pondok yang semakin sepi
seperti merasai kehilangan gadis misteri itu. Tenang. Tiada sebarang riak
daripada para jemaah di situ. Tiada seorang pun yang bertanya atau menimbulkan
persoalan. Masing-masing dibuai dengan masalah sendiri.
Tabah. Begitu kental jiwa
gadis itu. Tidak koyak oleh jerih perih kepenatan. Bersusah payah bekerja dari
pagi sehingga malam. Dalam dakapannya kini, darah daging yang masih kemerahan. Kadang
kala tersedu sedan menangis kelaparan, menangis kepanasan, mungkin tidak selesa
berkeadaan sebegitu.
Tiada sedikit pun keluhan
daripada bibirnya. Pagi bekerja di kedai dobi, malam melayan pelanggan di kedai
makan, petang pula menjadi pembantu
rumah separuh masa. Gendongannya tidak pernah terlepas dari dakapannya.
Kadang-kadang menangis meminta susu. Dia terpaksa bekerja untuk memenuhi
keperluan bayi yang kini menjadi tanggungannya. Keringat di dahi belum sempat
mengering, dia perlu ke hulur dan ke hilir demi mencari sesuap nasi.
Sudah begitu lama Humaira
tidak singgah ke pondok yang menjadi tempatnya untuk bertafakur kepada
PenciptaNya. Hari ini, dia mula menjejakkan kaki ke pondok yang telah sekian
lama tidak dijejakinya. Rindu, sayu segalanya bercampur baur. Kini, dirinya
terasa asing pada hal sekeliling. Para jemaah berbisik-bisik antara satu sama
lain. Dirinya kini dipandang serong oleh penduduk di pinggir bandar itu.
Setiap hari hanya titisan
air mata sahaja yang setia menemani Humaira. Sepanjang malam, dia tidak pernah berhenti
untuk meminta, dia tidak sesekali berhenti mengadu pada-Nya. Dia percaya, setiap
ujian yang sedang dia lalui ketika ini sudah pasti ada hikmah yang terbesar
disebaliknya. Humaira lebih banyak membisu. Setiap hari dia dicerca, dia
difitnah, dia diumpat, tetapi, segalanya menguatkan dirinya. Dia reda dan pasrah
dengan segalanya.
Humaira meneruskan rutin
hariannya untuk menghadiri kelas di pondok kawasan pinggir bandar itu.
Dahulunya, dia mempunyai ramai kawan rapat, kini dia dipulau oleh
rakan-rakannya.
“ Perempuan berlagak alim, munafik!,
mencemarkan imej bertudung labuh.” Lantang suara seorang perempuan yang
menyebabkan langkah Humaira terhenti. Humaira terkedu. Humaira tidak mampu
memandang wajah bengis itu.
Tiba-tiba tangan Humaira
direntap kuat. Suasana menjadi gelap. Humaira pitam dan apabila tersedar, dia
terkejut melihat cecair merah membasahi lantai yang kini dipijaknya. Dia
melihat sekujur tubuh kecil yang meronta- ronta kesakitan. Humaira bergegas
mendapatkan bayi kecil itu, lalu dipeluk kejap. Humaira menangis teresak-esak.
“Siapa kau, kenapa kau sungguh kejam
membunuh bayiku?” sambil terketar-ketar suara Humaira bertanya. Dia bukan anak
dari rahim kau! Dia anak haram! Berdesing telinga Humaira mendengarnya. Bayi
ini tidak berdosa! kenapa kau sanggup membunuhnya.” Sayu rintihan Humaira.
Dumm! Humaira tersedar apabila satu hentakan kuat pada kepalanya.
“ Humaira, syukurlah kamu
sudah sedar.” Bisik ustazah Syarha pada Humaira. Allahuakbar, aku cuma
bermimpi,” ucap Humaira. “ Kenapa Humaira? Humaira tidak menjawab pertanyaan
ustazah Syarha, malah hanya mempamerkan senyuman kelat. “Ustazah ingin berbual
dengan kamu sebentar Humaira,” pinta ustazah Syarha kepada Humaira. Humaira
hanya mengangguk tanda setuju.
“ Bayi siapakah yang kamu jaga selama
ini Humaira? Tiba-tiba Humaira terkedu dengan soalan ustazah tersebut. Ustazah
segera mengenggam erat jari-jemari milik anak gadisnya itu. Sudah
berbulan-bulan dia tidak bersua muka dengan gadis yang penuh sopan itu. Ketika
ditanya kepada jemaah pondok, semuanya tidak tahu ke mana perginya gadis
berjubah itu. Sepanjang tempoh sebulan juga ustazah telah berangkat ke tanah
suci untuk menunaikan ibadah haji. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak sempat
untuk bertemu anak gadisnya itu. Baru-baru ini juga dia mendapat khabar
daripada anak muridnya yang lain mengenai Humaira, walaupun beliau agak
terkejut, tetapi beliau telah nekad untuk mendengar segalanya daripada gadis
itu.
Ceritakan segalanya pada ummi,
Humaira. Panggilan ‘ummi,’ adalah panggilan yang sangat rapat pada Humaira. Dia
membiasakan dirinya dengan panggilan itu. Jika ingin diceritakan betapa
tragisnya kehidupan seorang gadis yang bernama Humaira. Ibunya mati kerana
menggantungkan diri demi melindunginya saat dirinya hampir sahaja menjadi
mangsa rakusan ayah kandungnya sendiri ketika usianya tujuh tahun. Demi
menyelamatkannya, ibunya telah tertikam dada ayahnya dan menyebabkan ayahnya
mati dan ibunya takut jika dituduh sebagai pembunuh. Beberapa hari selepas
kejadian itu berlaku, ibunya agak kelihatan murung dan tidak mahu bercakap.
Humaira yang ketika itu masih kecil dan tidak mengetahui apa-apa hanya berseronok
melalui zaman kanak-kanaknya seperti biasa.
Suatu petang, ketika
Humaira pulang ke rumah setelah bermain dengan rakan-rakannya, suasana di dalam
rumah begitu sunyi. Tidak kelihatan susuk tubuh ibunya yang sering kali berada
di jendela rumah tetapi hari ini tidak kelihatan pada matanya. Humaira menjerit
memanggil ibunya, “ibu! Ibu!. Tiada sebarang jawapan yang kedengaran. Humaira
terus melulu masuk ke ruangan bilik ibunya dan dia jatuh terduduk sebaik sahaja
melihat keadaan ibunya yang berada dalam keadaan yang mengerikan. Kehidupannya
setelah itu, begitu naïf tetapi beruntungnya dia apabila ada seorang nenek tua
telah menjaga dan merawatnya dengan penuh kasih dan sayang walaupun kehidupan
mereka begitu besederhana. Humaira tersedar daripada lamunan. Dia kini
memandang wajah suci ummi yang sedang berhadapan dengannya ketika ini.
“Ummi, Humaira reda dengan apa yang orang
perkatakan tentang Humaira. Biarlah mereka mencaci Humaira, jijik dengan
Humaira.” Laju air matanya jatuh tanpa diseka diselang-seli dengan bunyi esakan.
“Bayi itu bukan bayi Humaira, bukan lahirnya dari rahim Humaira ummi”, ummi
terus memeluknya erat, sambil menggosok perlahan belakangnya untuk menenangkan
emosi gadis itu. “Subhanallah! Humaira, sungguh mulia hati kamu, sungguh kuat
imanmu, sungguh tabah dirimu.” Ummi cepat-cepat menyeka air matanya. Dia tidak
boleh kelihatan lemah di hadapan gadis itu.
Satu persatu diluahkan
kepada ummi. Kata Humaira, perutnya telah tertikam oleh gunting ketika dia cuba
mengambil bayi daripada seorang wanita yang cuba untuk membunuh bayinya
sendiri. Disebabkan keadaannya yang terluka dan berdarah itu, berlakunya tafsiran
negatif orang yang ketika itu sedang mengintipnya dari jauh. Ummi memandang
Humaira dengan penuh rasa syukur. Ummi sungguh kagum dengan gadis yang memiliki
jiwa kental seperti Humaira. Betul-betul tidak disangka, masih ada manusia yang
berhati mulia sebegitu. Ustazah Syarha bertekad untuk menjelaskan dan
memperbetulkan segalanya, apabila Humaira pulih seperti sedia kala. Itu adalah
janjinya.
Malam itu, para jemaah
pondok dikumpulkan beramai-ramai. Suasana pada malam itu sungguh redup. Tidak
sejuk, tidak juga terlalu panas. Seperti ada suatu aura yang sangat positif.
Dengan penuh berhati-hati, Humaira melangkah masuk menghadap para jemaah
perempuan diiringi oleh ustazah Syarha. Baru sahaja Humaira ingin memulakan
ucapannya, ada seorang lelaki yang meminta untuk mengatakan sesuatu. Suasana
menjadi tegang. Para jemaah diam untuk mendengar patah bicara lelaki itu.
“Saya mewakili bagi pihak saudara
Haris, ingin memohon maaf atas segala fitnah yang telah ditaburkan ke atas
saudari Humaira. Saya adalah saksi ke atas apa yang telah terjadi pada malam
tersebut, dan segala cerita mengenai gadis tersebut adalah rekaan semata-mata
kerana sifat dengki saya terhadap beliau. Salam kemaafan daripada saya.” Haris.
“Saudara Haris telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi kerana terlibat dalam
kemalangan jalan raya.” Ucap seorang lelaki yang berperwatakan seperti seorang
ustaz itu. Majlis malam itu, bertukar kepada majlis bacaan yassin yang
disedekahkan kepada saudara Haris. Keadaan malam itu menjadi lebih sayu. Ada yang
menangis, ada yang termenung sendiri, ada yang menyendiri. Humaira mencapai
mikrofon. Para jemaah serentak memandang Humaira.
“Saya Fatimah Binti Farouq
(Humaira) bersaksikan para jemaah pondok ini, telah memaafkan segala kekhilafan
saudara Haris dan para jemaah yang lain terhadap fitnah yang telah dilemparkan
ke atas diri saya dengan seikhlasnya. Semoga Allah mengampuni saudara Haris dan
kita semua”. Bergema satu pondok mengaminkan doa yang dibacakan oleh Humaira.
Tika itu, ada senyuman disebalik bibir mulus Humaira. Syukur.
No comments:
Post a Comment