Monday, February 18, 2019

' Jam Tangan Ayah "




Ain merupakan singkatan kepada Ainatul Husna. Seorang kanak-kanak yang berusia 11 tahun. Memiliki impian seperti ayahnya. Bijak dalam subjek mengira. Ayahnya seorang muallaf dan bekerja sebagai seorang petani manakala ibunya adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Tinggal di salah sebuah desa yang penuh dengan kedaifan dan serba kekurangan. Namun begitu, dia beruntung kerana memiliki seorang ibu dan ayah yang sangat bertanggungjawab dengan mendaftarnya ke sekolah yang terletak di pinggir bandar iaitu di Sekolah Kebangsaan Teguh.

Ain! Ainatul Husna Binti Abdullah? Jerit seorang guru kelas yang digelar Cikgu Aumm (harimau) kerana sikap tegas dan dinginnya terhadap anak murid di kelas 5 Ribut. Di samping memegang amanah sebagai seorang guru kelas 5 Ribut, beliau juga salah seorang guru disiplin di sekolah tersebut. ‘Ain’ nama yang sering kali menjadi sebutan dalam kalangan guru-guru di sekolah itu kerana kepintarannya dalam subjek matematik dan sebaliknya menjadi sebutan yang kurang enak di dengar dalam kalangan guru-guru yang mengajarnya bagi subjek lainnya kerana sering kali mendapat gred G dalam subjek tersebut. Jika ditanya oleh guru-gurunya di sekolah, nanti besar kamu mahu jadi apa Ain, apa cita-cita kamu? Petani, cikgu! satu kelas mentertawakannya namun dia hanya tersenyum lebar dan bangga dengan impiannya itu. “Kamu datang ke sekolah hanya ingin menjadi seorang petani seperti ayahmu?” “Ya, cikgu! Disebabkan ayahlah, saya dapat makan nasi pagi ini, disebabkan ayah jugalah, kawan-kawan saya dapat makan nasi hari ini dan disebabkan ayah jugalah mak cik kantin dapat gaji sebab jual nasi.” Tergelak besar Cikgu Mariam mendengar jawapan daripada anak didiknya itu.

Walaupun kemasukan Ain ke sekolah ini sering kali mendapat tentangan daripada pihak atasan kerana ayahnya yang tidak mampu mengemukakan sijil kelahiran anak perempuannya itu namun, Cikgu Mariam inilah salah seorang daripada guru yang telah banyak membantu keluarga kecil ini. Beliau sanggup mengorbankan masa, tenaga dan segalanya agar Ain dapat mendaftar di sekolah ini. Cikgu Mariam atau dikenali juga sebagai Cikgu Aumm dalam kalangan pelajar 3 Ribut ini sudah masak dengan sikap anak didiknya yang sering kali menggelarkannya sebegitu. Tetapi, sedikit pun dia tidak berdendam pada anak-anak didiknya.

“Ain, Ain dah solat maghrib ke belum?” Laju ayah bertanya ketika melihat kelibat anak perempuannya itu terbongkok-bongkok seperti pencuri yang tidak ingin tertangkap. Eh, ayah, bila sampai rumah? selalunya nak masuk waktu isyak baru nampak ayah, Ain dah solat,” kata Ain. “ Sini sekejap,” Pinta ayah kepada anak perempuannya itu. Ain akur.

Sudah hampir dua minggu ayah tidak beri duit belanja pada Ain, InsyaAllah minggu depan ayah gantikan tonggakan belanja Ain ya. “Eh, tak apa ayah, lagipun Ain tak nak pakai duit belanja buat masa terdekat ni. “ Ain tersenyum sumbing pada ayahnya.” Ayahnya memandang sepi apabila anak perempuannya itu berlalu pergi. Dalam hati kecilnya, dia mengetahui bahawa anak perempuannya itu sangat memerlukan wang belanja daripadanya kerana dia ingin membeli sesuatu yang amat diinginkannya.

Pada pagi hari Jumaat, ketika keluarga kecil ini berjalan-jalan di bandar. “Ayah, mak cantikkan jam tangan ni?” Mahal lah Ain, kamu tu bukannya pandai sangat belajar, nak kerja mewah dan nak dapatkan duit macam mana, kalau asyik dapat gred G dalam peperiksaan. jangan nak berangan sangat nak beli barang mahal-mahal ni,” Panjang lebar kata-kata ibunya. Ain terkedu. Ayah cuma memerhati gelagat isteri dan anak perempuannya itu. Terkadang ayah merasakan dia tidak layak sama kali digelar seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab kepada dua orang puteri yang terpaksa hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Setiap hari, wang belanja yang diberikan oleh ayah kepadanya akan disimpan ke dalam tabung yang direkanya sendiri dengan menggunakan pokok buluh di belakang rumahnya. Setiap hari dihitungnya jumlah wang itu. Dia sudah berkira-kira, apabila cukup sahaja jumlah yang diinginkannya, dia akan segera mendapatkan jam tangan yang dilihatnya ketika berjalan-jalan di bandar tempoh hari bersama ibu dan ayahnya. “Mungkin lagi dua minggu, cukuplah tabungan aku,” tersengih Ain sambil mencium wang kertas yang digenggam kemas di tangannya. Sedang asyik dia berangan-angan, dia terdengar bunyi kaca yang jatuh berderai. Ain terus melulu ke arah dapur, dilihatnya tiada kelibat sesiapa pun di ruangan itu. Dia kehairanan. Beberapa minit kemudian, barulah dia teringat akan ibunya yang berada di dalam bilik. Ain terus bergegas mendapatkan ibunya. Dia terkejut melihat ibunya yang berada di lantai dengan jarinya yang terbenam dengan beberapa serpihan kaca dan cecair merah yang mengalir deras. Ain terkilan melihat ibunya lalu dia segera membantu ibunya naik ke atas katil. Ain mengambil bekas kosong dan mengisi separuh air lalu dicapainya sapu tangan untuk mencuci darah yang masih deras mengalir di jari kanan ibunya.

Ain memandang jam di dinding bilik ibunya. Jam tepat menunjukkan pukul 9 malam. Dia kehairanan, kerana selalunya ketika ini, dia sudah melihat kelibat ayahnya yang sedang solat di ruang tamu rumah dengan bacaan pelat cinanya. Dia mengeluh panjang. Tanpa dia sedari, gelagatnya diperhatikan oleh ibunya. “ Ain? ” Dia terkejut dengan panggilan tiba-tiba ibunya itu, barulah dia perasan darah yang keluar sejak tadi daripada jari ibunya semakin deras mengalir. Ain menjadi tidak tentu arah. Dia pantas bangun dan memaut lengan ibunya untuk dibawa ke klinik yang berdekatan dengan rumahnya, namun keadaan di luar rumah dengan hujan lebat dan kilat yang sambung-menyambung telah menyebabkan bulu romanya berdiri tegak.

Dumm! Tiba-tiba keadaan sekelilingnya menjadi gelap gelita. “Aduh,” Ain mengaduh. Dia bertindak mengesot dirinya menuju ke ruangan bilik tidurnya untuk mendapatkan lilin. Dalam fikirannya tidak pernah lekang dengan gambaran cerita hantu yang baru sahaja diceritakan oleh sahabat rapatnya Diana ketika waktu rehat di sekolah petang tadi. Tiba-tiba Ain terpandang kelibat seseorang yang melintasi luar pintu biliknya. Degupan jantungnya semakin rancak berdentum. Dia berkira-kira untuk mencapai penyapu di belakang pintu biliknya dan memukul pencuri itu, kerana sangkaannya ayahnya belum pulang kerana, dia tidak mendengar enjin motor milik ayahnya. Dia sangat mengecam ayahnya, walaupun dengan bauannya saja. Kini, kelibat tersebut sudah benar-benar berada di hadapannya. Ain mengangkat penyapu setinggi-tingginya dan sekuat tenaga untuk memukul mangsa yang sudah berada dalam umpannya. Hampir sahaja, penyapu itu menuju tepat ke kepala mangsa tersebut, lampu tiba-tiba menyala dan serentak dengan jeritan ayahnya. “Ain, bantu ayah bawa pakaian ibu,” Ain terpaku melihat ayah mengendong ibu di belakangnya. Dia segera membuntuti belakang ayahnya menuju ke pintu rumah. Kata ayah, Ain duduk rumah dan jangan lupa kunci pintu.“ Ayah, sekejap,” dengan hanya memberi isyarat tangan, Ain terus bergegas ke biliknya lalu mengambil wang dalam tabungan dan dihulurkan kepada ayahnya. “Nah, untuk rawatan ibu.” Wang berjumlah sebanyak 400 ringgit itu diletakkan sendiri oleh Ain dalam genggaman kasar ayahnya. Walaupun terasa berat untuk dilepaskan gumpalan kertas itu kepada ayahnya, namun segera dia tempiskan perasaan itu demi kesembuhan ibunya. Ayahnya memandang sekilas ke dalam anak mata hitam Ain lalu segera membonceng isterinya menuju ke klinik. Ain hanya memerhati kedua orang tuanya sehinggalah hilang susuk tubuh mereka daripada penglihatannya.

Ain terjaga. Dilihatnya jam di ruang tamu rumah yang menunjukkan jarum pendeknya di nombor tiga menandakan sudah lewat pagi. Keadaan rumah yang sunyi sepi tanpa kelibat kedua orang tuanya. Bertambah sayu hatinya memikirkan jam tangan yang hampir sahaja akan menjadi miliknya kelak. Namun begitu, impiannya untuk memiliki jam tangan itu, biarlah terkubur untuk seketika. Padanya, kesembuhan ibu dan senyuman ayah adalah keutamaan baginya. Dia yakin, suatu hari kelak, dia mampu juga memiliki jam tangan itu. Tanpa diduga, ada cecair jernih yang mengalir di pipinya lalu diseka segera dengan lengan bajunya. Dia senyum dalam terpaksa.

Rutin harian Ain berubah 360 darjah setelah kejadian yang menimpa ibunya malam semalam. Ibunya telah disahkan lumpuh separuh badan. Kini, kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian akan dilakukannya. Ayahnya pula,  terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung pembelian ubat-ubatan ibunya. Dia reda. Reda dengan takdir Ilahi. Walaupun kadang-kala dia merasakan ujian yang dihadapinya ketika ini tidak adil buat dirinya tetapi, dia tetap menyimpan rasa sedih itu serapi-rapinya. Lagi satu minggu ulang tahun kelahirannya yang ke-11 tahun akan tiba. Baginya, ulang tahun kelahirannya kali ini berbeza dari tahun yang sebelumnya. Namun begitu, dia tidak sesekali mengharapkan apa-apa daripada ayahnya. Cukuplah dengan makan minum yang dijamahnya selama ini. Tidak ada yang diinginkannya apabila melihat keadaan ibu yang sering kali mengundang kesedihan pada wajah ayahnya. Ayahnya yang bermata sepet, di tambah pula jika ayah menangis mengenangkan ibunya, makin tenggelamlah mata ayah. Ain berbisik-bisik sendirian.

Ain berjalan kaki ke sekolah seperti biasa. Dia berkira-kira ingin mengajak Diana ke bandar setelah pulang dari sekolah untuk singgah ke kedai jam tangan itu.

Bulan depan, guru besar akan membawa kamu semua pelajar kelas 5 Ribut ke ‘Sungai Rakus’ untuk diadakan sesi teknik memikat formula secara pantas bagi Subjek Matematik. “Haaa, Sungai rakus ! kenapa pelik sangat namanya Cikgu? Satu kelas bertanya kepada Cikgu Mariam. “Entahlah, kata guru besar, tempat itulah tempat yang paling sesuai untuk diadakan program ini. Bukan setakat sungainya yang jernih, tetapi kawasannya juga luas dan selesa untuk kamu semua menimba ilmu di sana nanti. Tapi ingat, sungai rakus ini biarpun airnya nampak tenang dan jernih sahaja, namun ingat pesan cikgu, jangan sesiapa berani untuk turun ke dalamnya kerana ia sangat berbahaya. Tiba-tiba suasana kelas 5 Ribut sepi. Tiada seorang pun yang bertanya atau membantah kata-kata Cikgu Mariam.

“Sungai rakus?” Diana tergelak besar. Ain yang berjalan seiring dengannya tidak mengendahkan tawa sahabatnya itu. Dalam kotak fikirannya, hanya ingin sampai ke kedai yang tempoh hari dia singgah bersama orang tuanya. Ain berjalan laju meninggalkan Diana yang terpinga-pinga keseorangan. Diana yang tersedar dirinya sudah ditinggalkan, lalu dia segera mengejar Ain yang telah lama mendahuluinya. “ Ain, tunggulah! tercunggap-cungap Diana dibuatnya. Kini mereka berdua berada di dalam kedai jam tangan tempoh hari. Anak mata Ain terus melilau mencari kedudukan jam tangan kesukaannya sebelum ini namun sudah diisi dengan jam tangan baharu. Dia terkilan lalu bertanya kepada penjual lelaki itu, “ Abang, mana perginya jam tangan warna merah yang selalu ada dekat sini? Seingat saya, dua hari lepas masih ada di tempat duduk ini.” “Ohh, dah dibeli orang dik, baru saja pagi tadi terjual.” Ain melepaskan nafas berat. Ain menjawab acuh tak acuh sahaja apabila penjual tersebut memperkenalkannya dengan jam tangan keluaran terbaru. Ain cuma menggeleng kepala sebelum keluar daripada kedai jam tangan itu. Diana yang tidak mengetahui apa-apa hanya menurut langkah kaki sahabatnya itu menuju ke rumah masing-masing.

Malam itu, Ain hanya melayan perasaanya sendiri. Ingin membaca berasa malas, ingin menulis juga tidak muncul idea. Semuanya menjadi tidak keruan. Semuanya menjadi serba salah. Bukan rezeki aku. “ Ahhhhh, sudahlah! semuanya bukan lagi nasi yang menjadi bubur, malah sudah basi dah pun! Ain mendengus kasar.” Dia tidak perasan, disebalik langsir biliknya, ada yang sedang memerhatikan keluhannya. Seketika kemudian, dia bangun dan keluar menuju ke arah bilik ibunya. Jiwanya rasa sebak apabila memandang susuk tubuh lesu ibunya yang sedang terbaring lena dalam tidurnya. Ain memandang di ruang tamu rumah. Dia melihat ayah ketawa sendirian sambil menonton televisyen. Jarang sekali dia melihat ayahnya berkeadaan begitu. Ini adalah pertama kalinya. Dia kehairanan. Hal yang lagi mengecewakannya adalah ayahnya tidak lagi menjenguk ibu ke ruangan biliknya. Namun begitu, Ain tidak sesekali bersuara pada ayahnya. Dia sangat tahu yang ayahnya sudah terlalu banyak berkorban untuk dia dan ibunya. Kadang-kala biarlah ayahnya ketawa sepuasnya.

Tepat jam 12 malam, genaplah usia Ain yang ke-11 tahun. Suasana malam ini sangat berbeza dari malam sebelum ini apabila tibanya bulan kelahirannya. Ain memandang sepi tabungan buluhnya yang terletak elok di atas meja belajarnya. Kalau sebelum ini, sudah hampir mencecah 500 ringgit, kini cuma tinggal lima ringgit sahaja. Sedang asyik dia memandang tabungannya itu, dia terpandang satu bungkusan kuning disebalik tabung buluh yang direkanya itu lalu dia mengambil bungkusan kuning itu. Perlahan-lahan dia membuka bungkusan kuning tersebut. Alangkah bahagianya apabila dia mendapati dalam bungkusan itu adalah jam tangan merah yang ingin dimilikinya selama ini. Laju air matanya jatuh buat kali keduanya diselang-seli pula dengan esakan terharunya malam itu. Dalam kepalanya tidak ada perkataan lain selain ‘ayah.’ Ain bergegas keluar untuk mendapatkan ayahnya. Dia tercari-cari kelibat ayahnya tetapi tidak kelihatan. Dia akhirnya tertido di atas sofa di ruang tamu rumah.

Keesokan harinya, ayahnya sudah awal pagi turun ke sawah padi. Dia tidak sempat lagi untuk berjumpa ayahnya. Hari ini, wajahnya seperti tidak mahu lekang daripada senyuman lebar sehinggakan ditegur oleh Cikgu Mariam dan rakan-rakannya. Dia hanya tersenyum puas. Setelah pulang dari sekolah, dipandang motor ayah, masih juga belum kelihatan. Ain meluru masuk ke ruangan ibunya. Dia menyampaikan hajatnya untuk ke Sungai Rakus selama dua hari bermula esok pagi untuk menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ibu mengizinkannya.

Tepat jam 7 pagi Ain sudah bersiap untuk bertolak ke sekolah. Dia tidak sempat bertemu ayahnya untuk meminta izin, namun meninggalkan pesan melalui ibunya sahaja. Kata ibu, ayah sudah turun ke sawah selepas solat subuh tadi. Ain lebih bersemangat dari sebelumnya setelah melihat keadaan kesihatan ibunya yang semakin membaik. Dia tidak perlu risau untuk menyertai program tersebut kerana ibunya dengan senang hati merelakannya untuk pergi ke Sungai Rakus.

Selama dua hari Ain mendapatkan pelbagai ilmu daripada guru jemputan yang berkaliber itu. Tambahan pula, matematik adalah subjek kesukaannya. Semakin bertambah minatnya untuk mengemukakan pelbagai soalan sehinggalah dia mampu memahaminya. Selama tempoh lima hari jugalah Ain tidak berjumpa dan bercakap dengan ayahnya.

Pelajar 5 Ribut diberi waktu rehat selama satu jam untuk menenangkan fikiran mereka setelah hampir lima jam mengkaji formula matematik sahaja. Ain termenung sendiri sambil duduk di atas batu dan memandang air sungai yang mengalir rancak mengikut alurnya. Tergiang-giang di telinganya kata-kata Cikgu Mariam tentang sungai ini. Tiba-tiba hatinya terusik dengan bunyian air sungai itu. Dia teringat akan ayahnya, lalu tidak sengaja dia tersentuh jam tangan pemberian ayahnya. Di pandang lama hiasan berlian pada lilitan jam tangan tersebut. Diusap lembut pada permukaan bulatan jam itu. Glurpp! Ain terperanjat apabila dikejutkan oleh Diana yang tiba-tiba muncul dihadapannya. Diana ketawa terbahak-bahak apabila melihat reaksi spontan Ain yang dianggapnya terlalu berlebihan. “Eh, kau dah kenapa Ain?” Tidak semena-mena ketawa Diana terhenti apabila dia terpandang air mata Ain yang meluncur laju di pipinya. Diana menjadi serba salah. Diana terpandang sesuatu pada pergelangan tangan Ain. Dia terkedu. Barulah dia tersedar bahawa jam tangan milik Ain kini sudah dibawa arus sungai. “Jam tangan aku,” sayu suara Ain sambil dipeluk erat oleh Diana. Sepanjang perjalanan pulang ke sekolah, Diana tidak henti-henti meminta maaf atas kekhilafannya yang tidak masuk akal yang menyebabkan sahabatnya itu diam seribu bahasa.

Ain menolak perlahan daun pintu rumahnya. Dia berasa agak lega apabila tidak melihat kelibat ayahnya di ruang tamu rumah. Motornya juga tidak kelihatan. Dia terus masuk ke dalam biliknya. Dia menghempas kuat tubuhnya ke katil. Diluah segala rasa perit yang tidak mampu ditanggungnya. Tanpa dia duga, tangisannya sampai ke ruangan tidur ibunya. “ Ain, datang ke bilik ibu sekejap.” Sebelum dia pergi ke bilik ibunya, dia membasuh mukanya agar tidak kelihatan mata pandanya itu. Dia tidak mampu lagi menyembunyikan segalanya. Setelah mendengar sahaja pertanyaan ibunya, dia terus menangis teresak-esak dan menceritakan segalanya pada ibu. Dia ingin ibu merahsiakan segalanya dari ayah. Biarlah, suatu hari nanti pasti dia akan menggantikannya dengan yang baharu. Belum sempat berterima kasih pada ayah, hal sebaliknya pula yang terjadi. Ain terlena di sisi ibunya setelah penat menangis.

Pagi cuti hujung minggu, Ain berkira-kira untuk membuat nasi lemak untuk ayahnya sebelum ayah berangkat ke sawah padi tetapi pagi itu juga, tidak kelihatan kelibat ayah. Kata ibu, semalam ayah datang menjenguk Ain. Ayah kata, dia rindu dengan Ain. Sudah hampir satu minggu ayah tak berbual dengan Ain. Perasaan Ain bercampur baur. Dia berasa hampa. “ Ibu, Ain nak ke sawah lah kalau macam tu, nak bawa nasi lemak untuk ayah,” Kata Ain. “Ain, hari ini ayah tak ke sawah katanya, tetapi ayah ke laut teman kawannya Pak Usop menangkap ikan katanya, ingin dibuat lauk sedap untuk Ain.” Ibu memberitahu Ain. Ain tersenyum kelat sahaja sambil mengangguk kepala tanda mengiakan kata-kata ibunya. Sudah hampir jam 9 malam, tetapi kelibat ayah masih belum kelihatan. Petang tadi, ibu kata ayah akan pulang sebelum jam 6 petang kerana melihat kepada cuaca yang kurang baik.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Ibu berasa tidak senang hati memikirkan keberadaan ayah. Ain meminta izin ibunya untuk pergi ke rumah Pak usop. Ketika sampai sahaja di depan rumah Pak Usop, Ain memberi salam. Beberapa minit kemudian, salamnya terjawab oleh suara garau lelaki. Ain terkejut melihat Pak Usop yang keluar dan berhadapan dengannya kini. “ Kamu dah kenapa Ain, masuklah dulu, mana ayah kamu?” Tanya Pak Usop. “Bukankah ayah dengan Pak Usop ke laut tadi pagi ?” Tanya Ain. Pak Usop kehairanan. Belum sempat Pak Usop menjawab pertanyaan Ain, dia sudah berlari pulang ke rumahnya.

“Ibu! Ibu! Ain menjerit memanggil ibunya sambil segera mendapatkan ibunya. Dia menceritakan segalanya pada ibu. Ibunya terkedu. Barulah ibu memberitahu Ain yang semalam, ibunya telah menceritakan segalanya pada ayah, tentang kehilangan jam tangan di Sungai Rakus itu. Tiba-tiba sahaja tangan Ain menggeletar dan satu perasaan yang tidak mampu digambarkan olehnya ketika ini. Pintu rumahnya diketuk kuat dari luar. Mendengar suara Pak Usop dari luar rumah, lagi mendebarkan hati dan jiwanya saat ini. Ain terus membuka pintu rumahnya. Melihat keadaan Pak Usop yang basah kuyup dan tercungap-cungap menjadikan dirinya tidak keruan. Dia hanya mengikut ajakan Pak Usop yang memboncengnya menuju ke suatu kawasan yang baru sahaja beberapa hari dia menjejakkan kaki ke sini. Dalam keadaan hujan renyai-renyai, Ain melihat beberapa orang lelaki yang berpakaian serba lengkap dengan bantuan alat penafasan di wajah mereka dan orang ramai yang menggerumuni sekujur tubuh yang berada disebalik batuan.

Tanpa diseka, air matanya kini laju selaju air sungai rakus yang sedang mengalir dengan rakusnya. Ain cuba mendekati dengan gagahnya ke arah sekujur jasad yang amat dirinduinya saat ini. Dengan nafas yang ditahan kejap, Ain menarik perlahan kain putih yang menutupi jasad ayahnya lalu berderailah tangisan dan esakan seorang kanak-kanak perempuan yang baru sahaja mencecah usia 11 tahun tetapi terpaksa menerima takdir yang tidak pernah mampu dibayanginya sehingga ia benar-benar terjadi.

Ain terus-menerus menggoncang kuat tubuh ayahnya yang kini kaku buat selamanya. “Ayah, bangunlah ayah, kenapa ayah tidur dekat sini? Ayah, dekat sini sejuk, kenapa ayah tak tidur kat rumah saja? Kenapa ayah tinggalkan Ain? Kenapa ayah tipu ibu? Ayah tahu kan, yang Ain dah lama tak berbual dengan ayah,” Makin lama makin tenggelam suara Ain.

Ain memandang sepi tanah merah yang perlahan-lahan menutupi jasad ayahnya. Air matanya sudah tidak lagi mengalir selebat-lebatnya tetapi, sudah kering buat selama-lamanya. Jam tangan merah masih tersarung kemas di pergelangan tangan kecilnya. Biarlah ayah tetap hidup bersama Ain, meskipun ayah kini berada di tempat yang jauh, namun kenangan bersama ayah tetap mekar di hati Ain. Ain pada saat ini, bukanlah Ain yang baru mencecah usia 11 tahun, tetapi Ain yang akan hidup dalam jasad seorang ayah yang bergelar petani. Seorang yang gagah dan tetap berani.

Simpanlah segala ‘contengan duka’ yang pernah terjadi dalam kehidupan ini, agar kelak kita tidak akan merasa sesalnya kehilangan setiap daripada memori itu. Biarpun kenangan itu membawa duka yang begitu mendalam, namun kedukaan itulah yang mengajar kita erti kehidupan yang sebenar.

No comments:

Post a Comment