"Menurut
Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim
(2019), terdapat 10 etika dalam penulisan blog yang baik," antaranya :
Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca
➝ Bagaimana sesuatu tajuk itu berperanan dalam menarik khalayak? Di sini, penulis blog perlu meletakkan pemilihan perkataan-perkataan yang ada 'aura tarikan' misalnya membincangkan isu yang sedang hangat dalam kalangan masyarakat hari ini dan bukannya tajuk yang klise. Maka, pilihlah tajuk yang menjadikan audiens 'tertanya-tanya' apa yang cuba ingin dikongsikan oleh penulis?' Maka, secara automatik jari pelawat blog akan 'click' untuk membacanya. Dalam kata lain ia adalah 'kreatif'.'
Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca
➝ Maksudnya di sini, cerita yang dikarang pada blog adalah tidak membosankan. Penulis blog bertanggungjawab dalam mempamerkan blog sendiri. Maka, untuk mendapatkan cerita yang menarik, penulis perlu merangka strategi untuk memulakan sesuatu perkongsian atau cerita. Misalnya, membuat penyelidikan mengenai hal sekeliling. Oleh itu, keluarlah dari kepompong yang membosankan dan rangkalah sesuatu yang gempak!
Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik
➝ Penulisan yang 'skema' sudah pasti akan membosankan. Oleh itu, penulis perlu menyelitkan unsur-unsur jenaka, namun tidaklah sampai menyentuh hak sensetiviti umum. Bayangkan jika penulisan tersebut terlalu ilmiah, sudah pasti khalayak yang ingin mencari ketenangan hati yang sedang bercelaru pasti melepaskan beban tersebut bila membaca sesuatu yang mencuit hati. Oleh itu, jadilah penghibur yang menghiburkan jiwa khalayak.
Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda
➝ Hujah yang baik, akan menimbulkan spekulasi yang baik dan jelas. Hujah melambangkan kematangan penulis blog tersebut. Oleh itu, jangan sesekali meletakkan hujah yang tidak logik dan tidak masuk akal, kerana jika hal tersebut terjadi, maka pelawat tidak gemar berkunjung ke blog anda kerana sesetengah 'individu' ini sangat berpegang pada kebenaran dan fakta yang jelas.
Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini
➝ Ya! pastikan penulisan yang terkandung dalam paparan blog mempunyai kaitan dengan berita semasa. Hal ini demikian kerana, pembaca selalunya mengikut 'trend' terkini atau dipanggil mengikut arus perubahan terkini. Oleh itu, mereka sangat ingin mencari jawapan bagi persoalan-persoalan yang timbul dalam fikiran mereka tentang hal yang sekeliling dan kemungkinan besar hal tersebut mempunyai kaitan dalam kehidupan mereka.
Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas
➝ Kita tidak tahu siapa pembaca kita, berapa usia mereka, dari mana asalnya tanah air mereka. Maka, berwaspadalah dalam pemilihan perkataan dan pastikan struktur ayat yang digunakan itu mudah ditafsirkan oleh khalayak. Namun jangan terlupa, ayat yang ringkas di sini, maksudnya padat dan mudah difahami serta bukanlah menggunakan ayat-ayat yang sulit dan memerlukan kamus untuk diterjemah.
Dapat dibaca dan difahami
➝ Jelaslah penulisan dan penyampaian pada paparan blog mestilah dapat dibaca dan difahami dengan jelas dan cepat serta segera. Hal ini demikian kerana, kebanyakan pembaca atau pelawat blog suka membaca sesuatu yang cerita atau penyampaian yang 'ringan' dan tidak membebankan kepala mereka dan fikiran mereka untuk memerah idea untuk memahaminya. Oleh itu, pastikan penulisan tersebut adalah sebaik-baik yang terpilih dan difahami.
Dapat berkomunikasi dengan pembaca
➝ Buktinya di sini, pembaca lebih gemar untuk mendapatkan tindak balas daripada penulis dan sama juga pada penulis. Setiap penulisan yang cuba disampaikan, sudah pasti penulis mahukan penilaian yang baik atau sebaliknya daripada pembaca untuk membuat penambahbaikan. Oleh itu, rajin-rajinkanlah diri untuk aktif berkomunikasi dengan pembaca melalui penulisan yang dipaparkan dan meletakkan ruangan untuk pembaca menitipkan pesan atau luahan yang membina.
Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda
➝ Nilai estetika mahupun mesej yang baik, memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang ramai. Penulisan yang mempunyai mesej yang baik, mampu menjadi orang ramai bertindak secara baik, malah jika sebaliknya, maka hal positif yang diperolehnya. Oleh itu, jadilah penyampai blog yang mempunyai jati diri yang bersih dan boleh menjadi teladan serta contoh yang baik kepada pembaca blog. Demikianlah, sudah pasti blog kita akan dijadikan rujukan paling utama.
Berilmu untuk penulisan pendidikan
➝ Untuk memperoleh atau mencipta sesuatu yang bermanfaat sehingga ke peringkat 'ilmu untuk penulisan pendidikan' itu sangatlah memerlukan tindakan yang luar biasa. Pastikan setiap paparan yang cuba disampaikan adalah dengan niat untuk berkongsi ilmu dan kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada khalayak. Dengan itu, wujudlah penulisan ke arah pendidikan tersebut.
No comments:
Post a Comment