Ain merupakan singkatan kepada Ainatul
Husna. Seorang kanak-kanak yang berusia 11 tahun. Memiliki impian seperti
ayahnya. Bijak dalam subjek mengira. Ayahnya seorang muallaf dan bekerja
sebagai seorang petani manakala ibunya adalah seorang suri rumah sepenuh masa.
Tinggal di salah sebuah desa yang penuh dengan kedaifan dan serba kekurangan.
Namun begitu, dia beruntung kerana memiliki seorang ibu dan ayah yang sangat
bertanggungjawab dengan mendaftarnya ke sekolah yang terletak di pinggir bandar
iaitu di Sekolah Kebangsaan Teguh.
Ain! Ainatul Husna Binti
Abdullah? Jerit seorang guru kelas yang digelar Cikgu Aumm (harimau) kerana
sikap tegas dan dinginnya terhadap anak murid di kelas 5 Ribut. Di samping
memegang amanah sebagai seorang guru kelas 5 Ribut, beliau juga salah seorang
guru disiplin di sekolah tersebut. ‘Ain’ nama yang sering kali menjadi sebutan
dalam kalangan guru-guru di sekolah itu kerana kepintarannya dalam subjek
matematik dan sebaliknya menjadi sebutan yang kurang enak di dengar dalam
kalangan guru-guru yang mengajarnya bagi subjek lainnya kerana sering kali
mendapat gred G dalam subjek tersebut. Jika ditanya oleh guru-gurunya di
sekolah, nanti besar kamu mahu jadi apa Ain, apa cita-cita kamu? Petani, cikgu!
satu kelas mentertawakannya namun dia hanya tersenyum lebar dan bangga dengan
impiannya itu. “Kamu datang ke sekolah hanya ingin menjadi seorang petani
seperti ayahmu?” “Ya, cikgu! Disebabkan ayahlah, saya dapat makan nasi pagi
ini, disebabkan ayah jugalah, kawan-kawan saya dapat makan nasi hari ini dan
disebabkan ayah jugalah mak cik kantin dapat gaji sebab jual nasi.” Tergelak
besar Cikgu Mariam mendengar jawapan daripada anak didiknya itu.
Walaupun kemasukan Ain ke
sekolah ini sering kali mendapat tentangan daripada pihak atasan kerana ayahnya
yang tidak mampu mengemukakan sijil kelahiran anak perempuannya itu namun,
Cikgu Mariam inilah salah seorang daripada guru yang telah banyak membantu
keluarga kecil ini. Beliau sanggup mengorbankan masa, tenaga dan segalanya agar
Ain dapat mendaftar di sekolah ini. Cikgu Mariam atau dikenali juga sebagai
Cikgu Aumm dalam kalangan pelajar 3 Ribut ini sudah masak dengan sikap anak
didiknya yang sering kali menggelarkannya sebegitu. Tetapi, sedikit pun dia
tidak berdendam pada anak-anak didiknya.
“Ain, Ain dah solat
maghrib ke belum?” Laju ayah bertanya ketika melihat kelibat anak perempuannya
itu terbongkok-bongkok seperti pencuri yang tidak ingin tertangkap. Eh, ayah,
bila sampai rumah? selalunya nak masuk waktu isyak baru nampak ayah, Ain dah
solat,” kata Ain. “ Sini sekejap,” Pinta ayah kepada anak perempuannya itu. Ain
akur.
Sudah hampir dua minggu
ayah tidak beri duit belanja pada Ain, InsyaAllah minggu depan ayah gantikan
tonggakan belanja Ain ya. “Eh, tak apa ayah, lagipun Ain tak nak pakai duit belanja
buat masa terdekat ni. “ Ain tersenyum sumbing pada ayahnya.” Ayahnya memandang
sepi apabila anak perempuannya itu berlalu pergi. Dalam hati kecilnya, dia
mengetahui bahawa anak perempuannya itu sangat memerlukan wang belanja daripadanya
kerana dia ingin membeli sesuatu yang amat diinginkannya.
Pada pagi hari Jumaat,
ketika keluarga kecil ini berjalan-jalan di bandar. “Ayah, mak cantikkan jam
tangan ni?” Mahal lah Ain, kamu tu bukannya pandai sangat belajar, nak kerja
mewah dan nak dapatkan duit macam mana, kalau asyik dapat gred G dalam
peperiksaan. jangan nak berangan sangat nak beli barang mahal-mahal ni,” Panjang
lebar kata-kata ibunya. Ain terkedu. Ayah cuma memerhati gelagat isteri dan
anak perempuannya itu. Terkadang ayah merasakan dia tidak layak sama kali
digelar seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab kepada dua orang puteri
yang terpaksa hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Setiap hari, wang belanja
yang diberikan oleh ayah kepadanya akan disimpan ke dalam tabung yang direkanya
sendiri dengan menggunakan pokok buluh di belakang rumahnya. Setiap hari dihitungnya
jumlah wang itu. Dia sudah berkira-kira, apabila cukup sahaja jumlah yang
diinginkannya, dia akan segera mendapatkan jam tangan yang dilihatnya ketika
berjalan-jalan di bandar tempoh hari bersama ibu dan ayahnya. “Mungkin lagi dua
minggu, cukuplah tabungan aku,” tersengih Ain sambil mencium wang kertas yang
digenggam kemas di tangannya. Sedang asyik dia berangan-angan,
dia terdengar bunyi kaca yang jatuh berderai. Ain terus melulu ke arah dapur, dilihatnya
tiada kelibat sesiapa pun di ruangan itu. Dia kehairanan. Beberapa minit
kemudian, barulah dia teringat akan ibunya yang berada di dalam bilik. Ain
terus bergegas mendapatkan ibunya. Dia terkejut melihat ibunya yang berada di
lantai dengan jarinya yang terbenam dengan beberapa serpihan kaca dan cecair
merah yang mengalir deras. Ain terkilan melihat ibunya lalu dia segera membantu
ibunya naik ke atas katil. Ain mengambil bekas kosong dan mengisi separuh air
lalu dicapainya sapu tangan untuk mencuci darah yang masih deras mengalir di
jari kanan ibunya.
Ain memandang jam di dinding bilik ibunya. Jam tepat menunjukkan pukul 9
malam. Dia kehairanan, kerana selalunya ketika ini, dia sudah melihat kelibat
ayahnya yang sedang solat di ruang tamu rumah dengan bacaan pelat cinanya. Dia
mengeluh panjang. Tanpa dia sedari, gelagatnya diperhatikan oleh ibunya. “ Ain?
” Dia terkejut dengan panggilan tiba-tiba ibunya itu, barulah dia perasan darah
yang keluar sejak tadi daripada jari ibunya semakin deras mengalir. Ain menjadi
tidak tentu arah. Dia pantas bangun dan memaut lengan ibunya untuk dibawa ke
klinik yang berdekatan dengan rumahnya, namun keadaan di luar rumah dengan hujan
lebat dan kilat yang sambung-menyambung telah menyebabkan bulu romanya berdiri
tegak.
Dumm! Tiba-tiba keadaan sekelilingnya menjadi gelap gelita. “Aduh,” Ain
mengaduh. Dia bertindak mengesot dirinya menuju ke ruangan bilik tidurnya untuk
mendapatkan lilin. Dalam fikirannya tidak pernah lekang dengan gambaran cerita
hantu yang baru sahaja diceritakan oleh sahabat rapatnya Diana ketika waktu
rehat di sekolah petang tadi. Tiba-tiba Ain terpandang kelibat seseorang yang
melintasi luar pintu biliknya. Degupan jantungnya semakin rancak berdentum. Dia
berkira-kira untuk mencapai penyapu di belakang pintu biliknya dan memukul
pencuri itu, kerana sangkaannya ayahnya belum pulang kerana, dia tidak mendengar
enjin motor milik ayahnya. Dia sangat mengecam ayahnya, walaupun dengan bauannya
saja. Kini, kelibat tersebut sudah benar-benar berada di hadapannya. Ain mengangkat
penyapu setinggi-tingginya dan sekuat tenaga untuk memukul mangsa yang sudah
berada dalam umpannya. Hampir sahaja, penyapu itu menuju tepat ke kepala mangsa
tersebut, lampu tiba-tiba menyala dan serentak dengan jeritan ayahnya. “Ain, bantu
ayah bawa pakaian ibu,” Ain terpaku melihat ayah mengendong ibu di belakangnya.
Dia segera membuntuti belakang ayahnya menuju ke pintu rumah. Kata ayah, Ain
duduk rumah dan jangan lupa kunci pintu.“ Ayah, sekejap,” dengan hanya memberi
isyarat tangan, Ain terus bergegas ke biliknya lalu mengambil wang dalam
tabungan dan dihulurkan kepada ayahnya. “Nah, untuk rawatan ibu.” Wang berjumlah
sebanyak 400 ringgit itu diletakkan sendiri oleh Ain dalam genggaman kasar
ayahnya. Walaupun terasa berat untuk dilepaskan gumpalan kertas itu kepada
ayahnya, namun segera dia tempiskan perasaan itu demi kesembuhan ibunya. Ayahnya
memandang sekilas ke dalam anak mata hitam Ain lalu segera membonceng isterinya
menuju ke klinik. Ain hanya memerhati kedua orang tuanya sehinggalah hilang susuk
tubuh mereka daripada penglihatannya.
Ain terjaga. Dilihatnya jam di ruang tamu rumah yang menunjukkan jarum
pendeknya di nombor tiga menandakan sudah lewat pagi. Keadaan rumah yang sunyi
sepi tanpa kelibat kedua orang tuanya. Bertambah sayu hatinya memikirkan jam
tangan yang hampir sahaja akan menjadi miliknya kelak. Namun begitu, impiannya
untuk memiliki jam tangan itu, biarlah terkubur untuk seketika. Padanya,
kesembuhan ibu dan senyuman ayah adalah keutamaan baginya. Dia yakin, suatu
hari kelak, dia mampu juga memiliki jam tangan itu. Tanpa diduga, ada cecair
jernih yang mengalir di pipinya lalu diseka segera dengan lengan bajunya. Dia senyum
dalam terpaksa.
Rutin harian Ain berubah 360 darjah setelah kejadian yang menimpa ibunya
malam semalam. Ibunya telah disahkan lumpuh separuh badan. Kini, kerja rumah
seperti memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian akan dilakukannya. Ayahnya
pula, terpaksa bekerja lebih masa untuk
menampung pembelian ubat-ubatan ibunya. Dia reda. Reda dengan takdir Ilahi.
Walaupun kadang-kala dia merasakan ujian yang dihadapinya ketika ini tidak adil
buat dirinya tetapi, dia tetap menyimpan rasa sedih itu serapi-rapinya. Lagi
satu minggu ulang tahun kelahirannya yang ke-11 tahun akan tiba. Baginya, ulang
tahun kelahirannya kali ini berbeza dari tahun yang sebelumnya. Namun begitu,
dia tidak sesekali mengharapkan apa-apa daripada ayahnya. Cukuplah dengan makan
minum yang dijamahnya selama ini. Tidak ada yang diinginkannya apabila melihat
keadaan ibu yang sering kali mengundang kesedihan pada wajah ayahnya. Ayahnya
yang bermata sepet, di tambah pula jika ayah menangis mengenangkan ibunya, makin
tenggelamlah mata ayah. Ain berbisik-bisik sendirian.
Ain berjalan kaki ke sekolah seperti biasa. Dia berkira-kira ingin
mengajak Diana ke bandar setelah pulang dari sekolah untuk singgah ke kedai jam
tangan itu.
Bulan depan, guru
besar akan membawa kamu semua pelajar kelas 5 Ribut ke ‘Sungai Rakus’ untuk diadakan
sesi teknik memikat formula secara pantas bagi Subjek Matematik. “Haaa, Sungai
rakus ! kenapa pelik sangat namanya Cikgu? Satu kelas bertanya kepada Cikgu
Mariam. “Entahlah, kata guru besar, tempat itulah tempat yang paling sesuai
untuk diadakan program ini. Bukan setakat sungainya yang jernih, tetapi
kawasannya juga luas dan selesa untuk kamu semua menimba ilmu di sana nanti.
Tapi ingat, sungai rakus ini biarpun airnya nampak tenang dan jernih sahaja, namun
ingat pesan cikgu, jangan sesiapa berani untuk turun ke dalamnya kerana ia
sangat berbahaya. Tiba-tiba suasana kelas 5 Ribut sepi. Tiada seorang pun yang
bertanya atau membantah kata-kata Cikgu Mariam.
“Sungai rakus?” Diana
tergelak besar. Ain yang berjalan seiring dengannya tidak mengendahkan tawa
sahabatnya itu. Dalam kotak fikirannya, hanya ingin sampai ke kedai yang tempoh
hari dia singgah bersama orang tuanya. Ain berjalan laju meninggalkan Diana
yang terpinga-pinga keseorangan. Diana yang tersedar dirinya sudah
ditinggalkan, lalu dia segera mengejar Ain yang telah lama mendahuluinya. “
Ain, tunggulah! tercunggap-cungap Diana dibuatnya. Kini mereka berdua berada di
dalam kedai jam tangan tempoh hari. Anak mata Ain terus melilau mencari
kedudukan jam tangan kesukaannya sebelum ini namun sudah diisi dengan jam tangan
baharu. Dia terkilan lalu bertanya kepada penjual lelaki itu, “ Abang, mana
perginya jam tangan warna merah yang selalu ada dekat sini? Seingat saya, dua
hari lepas masih ada di tempat duduk ini.” “Ohh, dah dibeli orang dik, baru
saja pagi tadi terjual.” Ain melepaskan nafas berat. Ain menjawab acuh tak acuh
sahaja apabila penjual tersebut memperkenalkannya dengan jam tangan keluaran
terbaru. Ain cuma menggeleng kepala sebelum keluar daripada kedai jam tangan
itu. Diana yang tidak mengetahui apa-apa hanya menurut langkah kaki sahabatnya
itu menuju ke rumah masing-masing.
Malam itu, Ain hanya
melayan perasaanya sendiri. Ingin membaca berasa malas, ingin menulis juga tidak
muncul idea. Semuanya menjadi tidak keruan. Semuanya menjadi serba salah. Bukan
rezeki aku. “ Ahhhhh, sudahlah! semuanya bukan lagi nasi yang menjadi bubur,
malah sudah basi dah pun! Ain mendengus kasar.” Dia tidak perasan, disebalik
langsir biliknya, ada yang sedang memerhatikan keluhannya. Seketika kemudian,
dia bangun dan keluar menuju ke arah bilik ibunya. Jiwanya rasa sebak apabila
memandang susuk tubuh lesu ibunya yang sedang terbaring lena dalam tidurnya. Ain
memandang di ruang tamu rumah. Dia melihat ayah ketawa sendirian sambil
menonton televisyen. Jarang sekali dia melihat ayahnya berkeadaan begitu. Ini
adalah pertama kalinya. Dia kehairanan. Hal yang lagi mengecewakannya adalah
ayahnya tidak lagi menjenguk ibu ke ruangan biliknya. Namun begitu, Ain tidak
sesekali bersuara pada ayahnya. Dia sangat tahu yang ayahnya sudah terlalu
banyak berkorban untuk dia dan ibunya. Kadang-kala biarlah ayahnya ketawa
sepuasnya.
Tepat jam 12 malam,
genaplah usia Ain yang ke-11 tahun. Suasana malam ini sangat berbeza dari malam
sebelum ini apabila tibanya bulan kelahirannya. Ain memandang sepi tabungan
buluhnya yang terletak elok di atas meja belajarnya. Kalau sebelum ini, sudah
hampir mencecah 500 ringgit, kini cuma tinggal lima ringgit sahaja. Sedang
asyik dia memandang tabungannya itu, dia terpandang satu bungkusan kuning
disebalik tabung buluh yang direkanya itu lalu dia mengambil bungkusan kuning
itu. Perlahan-lahan dia membuka bungkusan kuning tersebut. Alangkah bahagianya apabila
dia mendapati dalam bungkusan itu adalah jam tangan merah yang ingin dimilikinya
selama ini. Laju air matanya jatuh buat kali keduanya diselang-seli pula dengan
esakan terharunya malam itu. Dalam kepalanya tidak ada perkataan lain selain ‘ayah.’
Ain bergegas keluar untuk mendapatkan ayahnya. Dia tercari-cari kelibat ayahnya
tetapi tidak kelihatan. Dia akhirnya tertido di atas sofa di ruang tamu rumah.
Keesokan harinya, ayahnya
sudah awal pagi turun ke sawah padi. Dia tidak sempat lagi untuk berjumpa
ayahnya. Hari ini, wajahnya seperti tidak mahu lekang daripada senyuman lebar
sehinggakan ditegur oleh Cikgu Mariam dan rakan-rakannya. Dia hanya tersenyum
puas. Setelah pulang dari sekolah, dipandang motor ayah, masih juga belum
kelihatan. Ain meluru masuk ke ruangan ibunya. Dia menyampaikan hajatnya untuk
ke Sungai Rakus selama dua hari bermula esok pagi untuk menyertai program yang
dianjurkan oleh pihak sekolah. Ibu mengizinkannya.
Tepat jam 7 pagi Ain sudah
bersiap untuk bertolak ke sekolah. Dia tidak sempat bertemu ayahnya untuk
meminta izin, namun meninggalkan pesan melalui ibunya sahaja. Kata ibu, ayah
sudah turun ke sawah selepas solat subuh tadi. Ain lebih bersemangat dari
sebelumnya setelah melihat keadaan kesihatan ibunya yang semakin membaik. Dia
tidak perlu risau untuk menyertai program tersebut kerana ibunya dengan senang
hati merelakannya untuk pergi ke Sungai Rakus.
Selama dua hari Ain
mendapatkan pelbagai ilmu daripada guru jemputan yang berkaliber itu. Tambahan
pula, matematik adalah subjek kesukaannya. Semakin bertambah minatnya untuk
mengemukakan pelbagai soalan sehinggalah dia mampu memahaminya. Selama tempoh
lima hari jugalah Ain tidak berjumpa dan bercakap dengan ayahnya.
Pelajar 5 Ribut diberi waktu rehat
selama satu jam untuk menenangkan fikiran mereka setelah hampir lima jam
mengkaji formula matematik sahaja. Ain termenung sendiri sambil duduk di atas
batu dan memandang air sungai yang mengalir rancak mengikut alurnya.
Tergiang-giang di telinganya kata-kata Cikgu Mariam tentang sungai ini. Tiba-tiba
hatinya terusik dengan bunyian air sungai itu. Dia teringat akan ayahnya, lalu
tidak sengaja dia tersentuh jam tangan pemberian ayahnya. Di pandang lama hiasan
berlian pada lilitan jam tangan tersebut. Diusap lembut pada permukaan bulatan jam
itu. Glurpp! Ain terperanjat apabila dikejutkan oleh Diana yang tiba-tiba
muncul dihadapannya. Diana ketawa terbahak-bahak apabila melihat reaksi spontan
Ain yang dianggapnya terlalu berlebihan. “Eh, kau dah kenapa Ain?” Tidak
semena-mena ketawa Diana terhenti apabila dia terpandang air mata Ain yang
meluncur laju di pipinya. Diana menjadi serba salah. Diana terpandang sesuatu
pada pergelangan tangan Ain. Dia terkedu. Barulah dia tersedar bahawa jam
tangan milik Ain kini sudah dibawa arus sungai. “Jam tangan aku,” sayu suara
Ain sambil dipeluk erat oleh Diana. Sepanjang perjalanan pulang ke sekolah,
Diana tidak henti-henti meminta maaf atas kekhilafannya yang tidak masuk akal yang
menyebabkan sahabatnya itu diam seribu bahasa.
Ain menolak perlahan daun pintu
rumahnya. Dia berasa agak lega apabila tidak melihat kelibat ayahnya di ruang
tamu rumah. Motornya juga tidak kelihatan. Dia terus masuk ke dalam biliknya.
Dia menghempas kuat tubuhnya ke katil. Diluah segala rasa perit yang tidak
mampu ditanggungnya. Tanpa dia duga, tangisannya sampai ke ruangan tidur
ibunya. “ Ain, datang ke bilik ibu sekejap.” Sebelum dia pergi ke bilik ibunya,
dia membasuh mukanya agar tidak kelihatan mata pandanya itu. Dia tidak mampu
lagi menyembunyikan segalanya. Setelah mendengar sahaja pertanyaan ibunya, dia
terus menangis teresak-esak dan menceritakan segalanya pada ibu. Dia ingin ibu
merahsiakan segalanya dari ayah. Biarlah, suatu hari nanti pasti dia akan
menggantikannya dengan yang baharu. Belum sempat berterima kasih pada ayah, hal
sebaliknya pula yang terjadi. Ain terlena di sisi ibunya setelah penat
menangis.
Pagi cuti hujung minggu, Ain
berkira-kira untuk membuat nasi lemak untuk ayahnya sebelum ayah berangkat ke
sawah padi tetapi pagi itu juga, tidak kelihatan kelibat ayah. Kata ibu,
semalam ayah datang menjenguk Ain. Ayah kata, dia rindu dengan Ain. Sudah
hampir satu minggu ayah tak berbual dengan Ain. Perasaan Ain bercampur baur.
Dia berasa hampa. “ Ibu, Ain nak ke sawah lah kalau macam tu, nak bawa nasi
lemak untuk ayah,” Kata Ain. “Ain, hari ini ayah tak ke sawah katanya, tetapi
ayah ke laut teman kawannya Pak Usop menangkap ikan katanya, ingin dibuat lauk
sedap untuk Ain.” Ibu memberitahu Ain. Ain tersenyum kelat sahaja sambil mengangguk
kepala tanda mengiakan kata-kata ibunya. Sudah hampir jam 9 malam, tetapi
kelibat ayah masih belum kelihatan. Petang tadi, ibu kata ayah akan pulang
sebelum jam 6 petang kerana melihat kepada cuaca yang kurang baik.
Tiba-tiba hujan turun
dengan lebatnya. Ibu berasa tidak senang hati memikirkan keberadaan ayah. Ain
meminta izin ibunya untuk pergi ke rumah Pak usop. Ketika sampai sahaja di
depan rumah Pak Usop, Ain memberi salam. Beberapa minit kemudian, salamnya
terjawab oleh suara garau lelaki. Ain terkejut melihat Pak Usop yang keluar dan
berhadapan dengannya kini. “ Kamu dah kenapa Ain, masuklah dulu, mana ayah
kamu?” Tanya Pak Usop. “Bukankah ayah dengan Pak Usop ke laut tadi pagi ?” Tanya
Ain. Pak Usop kehairanan. Belum sempat Pak Usop menjawab pertanyaan Ain, dia sudah
berlari pulang ke rumahnya.
“Ibu! Ibu! Ain menjerit
memanggil ibunya sambil segera mendapatkan ibunya. Dia menceritakan segalanya
pada ibu. Ibunya terkedu. Barulah ibu memberitahu Ain yang semalam, ibunya
telah menceritakan segalanya pada ayah, tentang kehilangan jam tangan di Sungai
Rakus itu. Tiba-tiba sahaja tangan Ain menggeletar dan satu perasaan yang tidak
mampu digambarkan olehnya ketika ini. Pintu rumahnya diketuk kuat dari luar.
Mendengar suara Pak Usop dari luar rumah, lagi mendebarkan hati dan jiwanya
saat ini. Ain terus membuka pintu rumahnya. Melihat keadaan Pak Usop yang basah
kuyup dan tercungap-cungap menjadikan dirinya tidak keruan. Dia hanya mengikut
ajakan Pak Usop yang memboncengnya menuju ke suatu kawasan yang baru sahaja beberapa
hari dia menjejakkan kaki ke sini. Dalam keadaan hujan renyai-renyai, Ain
melihat beberapa orang lelaki yang berpakaian serba lengkap dengan bantuan alat
penafasan di wajah mereka dan orang ramai yang menggerumuni sekujur tubuh yang berada
disebalik batuan.
Tanpa diseka, air matanya
kini laju selaju air sungai rakus yang sedang mengalir dengan rakusnya. Ain cuba
mendekati dengan gagahnya ke arah sekujur jasad yang amat dirinduinya saat ini.
Dengan nafas yang ditahan kejap, Ain menarik perlahan kain putih yang menutupi
jasad ayahnya lalu berderailah tangisan dan esakan seorang kanak-kanak
perempuan yang baru sahaja mencecah usia 11 tahun tetapi terpaksa menerima
takdir yang tidak pernah mampu dibayanginya sehingga ia benar-benar terjadi.
Ain terus-menerus
menggoncang kuat tubuh ayahnya yang kini kaku buat selamanya. “Ayah, bangunlah
ayah, kenapa ayah tidur dekat sini? Ayah, dekat sini sejuk, kenapa ayah tak
tidur kat rumah saja? Kenapa ayah tinggalkan Ain? Kenapa ayah tipu ibu? Ayah
tahu kan, yang Ain dah lama tak berbual dengan ayah,” Makin lama makin
tenggelam suara Ain.
Ain memandang sepi tanah
merah yang perlahan-lahan menutupi jasad ayahnya. Air matanya sudah tidak lagi
mengalir selebat-lebatnya tetapi, sudah kering buat selama-lamanya. Jam tangan
merah masih tersarung kemas di pergelangan tangan kecilnya. Biarlah ayah tetap hidup
bersama Ain, meskipun ayah kini berada di tempat yang jauh, namun kenangan
bersama ayah tetap mekar di hati Ain. Ain pada saat ini, bukanlah Ain yang baru
mencecah usia 11 tahun, tetapi Ain yang akan hidup dalam jasad seorang ayah
yang bergelar petani. Seorang yang gagah dan tetap berani.
Simpanlah segala ‘contengan duka’ yang
pernah terjadi dalam kehidupan ini, agar kelak kita tidak akan merasa sesalnya
kehilangan setiap daripada memori itu. Biarpun kenangan itu membawa duka yang
begitu mendalam, namun kedukaan itulah yang mengajar kita erti kehidupan yang
sebenar.